Pelaburan Projek Pengurusan Air Catat Rekod

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 16 Disember 2022
Pelaburan Projek Pengurusan Air Catat Rekod
Stesen Tenaga Hidro Baihetan di provinsi Sichuan. (foto: China Daily)

China telah melabur 1.1 trilion yuan (700 bilion ringgit) terhadap pengurusan sumber air dalam 11 bulan pertama tahun ini untuk mendorong perkembangan ekonomi dengan memanfaatkan potensi pelaburan. Ini kali pertama China mengambil tindakan seumpama.

Pelaburan ini menjadikan 2022 sebagai tahun kalendar yang berlakunya pelaburan terbesar sejak penubuhan Republik Rakyat China pada 1949, kata Liu Weiping, naib menteri sumber air dalam sidang akhbar pada 14 Disember.

Kementerian tersebut memaklumkan bahawa pelaburan sebanyak 802 bilion yuan (509 bilion ringgit) telah dibuat pada 2021, meningkat 4.2% berbanding tahun sebelumnya.

Dengan sokongan daripada badan kerajaan lain termasuk Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) dan Jabatan Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara (NFGA), kementerian ini telah mempercepat proses memeriksa dan meluluskan projek pengurusan air, kata Liu.

Ujarnya lagi, lebih kurang 25,000 projek pengurusan air baharu dilaksanakan antara Januari dan November tahun ini, berbanding dengan 21,233 projek sedemikian sepanjang 2021.

Pelaburan ini telah memainkan peranan sepenuhnya dalam memastikan pelaburan domestik yang stabil serta menggalakkan pekerjaan, sekali gus memacu pembangunan industri huluan dan hiliran yang berkaitan, tambah Liu.

Menurutnya, sehingga akhir November 2022, hampir 2.4 juta orang berjaya mencari pekerjaan berkat projek-projek berkenaan, lebih 1.9 juta daripada mereka berasal dari luar bandar.

Liu juga menekankan “kejayaan penting” dalam usaha kementerian untuk mengumpulkan dana melalui bon kerajaan, pinjaman bank dan modal swasta.

Pada akhir November 2022, pihak berkuasa mengutip lebih 1.1 trilion yuan untuk projek pengurusan air. Lebih kurang 319.6 bilion yuan (203 bilion ringgit) daripadanya diperoleh melalui pinjaman bank dan modal swasta, dianggarkan 77% lebih banyak berbanding sumbangan mereka pada 2021.

Yang Xinyu, ketua jabatan kewangan Kementerian Sumber Air China menyebutkan bahawa, kementerian sedang bekerjasama dengan institusi-insitusi kewangan untuk memperkenalkan pinjaman berkonsesi bagi projek tersebut.

Institusi-institusi berkaitan telah menawarkan kadar pulangan terbaik dalam sektor infrastruktuer bagi projek pengurusan air, jelas Yang.

Zhang Xiangwei, ketua jabatan perancangan kementerian yang sama pula menyatakan kawalan banjir, pengalihan air, pemulihan ekologi dan pengelolaan hidrologi adalah antara kerja utama tahun ini.

Misalnya, lebih kurang 213.2 bilion yuan (135 bilion ringgit) telah dilaburkan dalam pemulihan ekologi serta pemuliharaan sungai dan tasik, tambah Zhang. Pelbagai projek telah dilancarkan untuk memperkuat pemuliharaan tanah dan air, dan membendung eksploitasi air bawah tanah.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan