Syarikat China Cari Peluang Niaga ke Luar Negara

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 22 Disember 2022

Menjelang tahun 2023, syarikat-syarikat dari pelbagai provinsi termasuk Zhejiang, Jiangsu, Guangdong dan Sichuan mengalih tumpuan ke luar negara untuk memperluas pasaran dan mencari peluang perniagaan. Eropah, Jepun, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu antara destinasi pilihan mereka.

Foto menunjukkan terminal kontena antarabangsa Yangpu di provinsi Hainan, pada November 2022. (foto: Fu Wuping/People.cn)

Berdepan dengan keadaan ekonomi global yang lembap dan persekitaran antarabangsa yang rumit, tekanan yang dialami syarikat dari segi pengeluaran dan perdagangan semakin meningkat. Menurut pakar, langkah yang diambil pelbagai syarikat ini mencerminkan proses pemulihan ekonomi China dan keyakinan syarikat terhadap pertumbuhan yang stabil.

Ramai pengendali syarikat mengakui bahawa sejak menularnya wabak COVID-19, hubungan dengan pelanggan asing terhalang. Seiring dengan dasar pembendungan wabak COVID-19 semakin dioptimumkan, kerajaan tempatan giat membuka pintu kepada syarikat untuk mencari peluang perniagaan ke luar negara, yang turut meningkatkan keyakinan terhadap perniagaan tahun depan.

Li Dawei, pengarah dan penyelidik Pejabat Penyelidikan Ekonomi Baru Muncul, Institut Penyelidikan Ekonomi Asing, Akademi Makroekonomi China mengganggap mustahak untuk membolehkan pelanggan asing berhubung secara bersemuka dengan syarikat China dan mengurangkan kos transaksi, demi pembangunan berkualiti sektor perdagangan luar.

Sejak awal tahun ini, beberapa langkah telah diperkenalkan oleh kerajaan pusat dan tempatan untuk menembusi halangan yang dihadapi sekarang, membuka pasaran antarabangsa dengan produk unggul, dan menggalakkan penglibatan syarikat dalam pelbagai pameran.

Baru-baru ini, hampir 40 syarikat China mengadakan lawatan perdagangan ke Asia Tenggara untuk menyertai pameran produk Guangdong (Malaysia) dan Pameran BeautyAsia Singapore.

Menurut data Jabatan Kastam China, dalam tiga suku pertama tahun ini, nilai import dan eksport negara mencatat 31.11 trilion yuan (19.76 trilion ringgit), meningkat sebanyak 9.9% tahun ke tahun.

Delegasi ekonomi dan perdagangan bandar Foshan, provinsi Guangdong mengadakan lawatan perniagaan ke negara-negara Eropah termasuk Jerman, Poland, Hungary dan sebagainya, menandatangani projek kerjasama bernilai lebih 100 juta yuan (63.46 juta ringgit). Delegasi bandar Ningbo, provinsi Zhejiang juga berjaya mengikat kontrak bernilai lebih kurang 140 bilion yuan (88.63 bilion ringgit).

Delegasi ekonomi dan perdagangan bandar Foshan, provinsi Guangdong mengambil bahagian dalam aktiviti pertukaran ekonomi dan perdagangan di Warsaw, Poland, pada Disember 2022. (foto: Biro Perdagangan Bandar Foshan)

Pan Helin, pengarah dan penyelidik Pusat Penyelidikan Inovasi Kewangan dan Ekonomi Digital, Sekolah Perniagaan Antarabangsa, Universiti Zhejiang berkata bahawa, kadar inflasi global kini kekal tinggi, barangan akhir industri pembuatan teknologi tinggi China mempunyai kelebihan dalam aspek kos, dan pasaran eksportnya akan terus dibuka.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan