Xi, Marcos Adakan Pertemuan Empat Mata

(CRI)Khamis 05 Januari 2023

Presiden China, Xi Jinping pada Rabu menerima kunjungan dari rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos yang sedang mengadakan lawatan rasmi di China.

Dalam pertemuan tersebut, Xi menyatakan bahawa China sentiasa melihat hubungan dengan Filipina dari sudut strategik dan secara menyeluruh.

Beliau berkata, China bersedia mengekalkan interaksi strategik dan membuat rancangan menyeluruh melibatkan perkembangan hubungan bilateral bagi membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, di samping menyumbang tenaga positif terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Xi menekankan bahawa kedua-dua negara akan mengadakan kerjasama dalam bidang pertanian, pembinaan infrastruktur, sumber tenaga dan sosiobudaya.

“China sedang mengubahsuai langkah pencegahan dan kawalan wabak COVID-19 supaya menyelaraskan pencegahan pandemik dengan pembangunan sosioekonomi secara lebih saintifik.

“Saya yakin pertukaran rakyat kedua-dua negara akan dipulihkan ke situasi sebelum tercetusnya pandemik,” ujar beliau.

Xi memberitahu, China bersedia memfokuskan kerjasama dan pembangunan dengan Filipina dan negara ASEAN yang lain, melindungi kedudukan pusat ASEAN dalam kerjasama serantau, mendorong pembinaan ‘lima kampung halaman’, mendorong rantau ini terus bebas dari impak Perang Dingin dan meneruskan kemakmuran pembangunan.

Marcos dalam ucapannya pula menyatakan beliau berharap lawatan ke China kali ini dapat mencerminkan bahawa hubungan Filipina-China berada pada tahap baik dan saling memerlukan.

“Kami bersedia untuk terus menangani masalah maritim melalui rundingan persahabatan dan mengadakan perbincangan semula terhadap penerokaan minyak dan gas dengan China,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada China atas bantuan yang berharga diberikan dalam usaha melawan wabak COVID-19.

Marcos berharap suapaya lebih banyak rakyat China datang melancong ke Filipina dan belajar di negara itu dalam usaha memperkukuh hubungan jangka masa panjang kedua-dua negara.

Pemimpin kedua-dua negara turut menyaksikan penandatanganan dokumen kerjasama melibatkan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), pertanian, perikanan, pembinaan infrastruktur, kewangan, kastam, e-niaga dan pelancongan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan