Membawa Tarian Hip-pop ke Kampus

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 06 Februari 2023

Penari dari Konservatori Muzik Sichuan menggabungkan unsur piying, persembahan permainan bayang-bayang tradisional Cina. (foto: China Daily)

Pelajar sains bereksperimen dengan rentak untuk membantu pengajian mereka, lapor Xing Wen.

Para saintis bergantung kepada fakta; reputasi mereka bergantung pada pengesahan kesahihan penemuan mereka. Ia biasanya bukan suatu bidang penghasilan lagu dan tarian. Namun bidang lagu dan tarian yang biasanya tidak dikaitkan dengan usaha saintifik juga memerlukan tahap keaslian iaitu hip-hop.

Universiti Akademi Sains China yang diiktiraf secara meluas untuk memupuk orang yang berbakat dalam sains dan teknologi, mungkin tidak kelihatan seperti tempat untuk hip-hop. Namun sekumpulan pelajar pascasiswazah dan kedoktoran berkumpul di sana untuk berkongsi usaha pencarian ketulenan dalam kedua-dua penyelidikan saintifik dan tarian hip-hop.

Universiti ini mempunyai empat kampus di pelbagai lokasi di Beijing. Walaupun tinggal di kampus yang berbeza, berjauhan antara satu sama lain, para pelajar telah mengasaskan kelab tarian yang dipanggil HD Crew. Pada hujung minggu, mereka meluangkan beberapa jam dari jadual pengajian dan penyelidikan mereka untuk mengembara dari empat kampus dan bertemu di studio tarian yang disewa di daerah Haidian.

Mereka belajar dan berlatih gerakan dan rutin pelbagai genre tarian jalanan termasuk hip-hop, pop, locking dan jazz.

"Tarian membantu saya berehat daripada tekanan belajar sepanjang minggu," kata Hu Weimin, 26, ahli HD Crew dan pelajar kedoktoran dalam bidang kepakaran optik.

Jazz adalah kegemarannya.

Keghairahannya untuk menari dapat dikesan sejak usia muda, ketika beliau masih di sekolah rendah dan suka meniru persembahan idola Cantopop daripada video muzik mereka.

Hu Weimin (dua dari kanan, barisan hadapan), pelajar kedoktoran, menari dengan rakan sebayanya dari Universiti Akademi Sains China dalam pertunjukan bakat Kampus. (foto: China Daily)

Namun begitu, setelah menjadi pelajar sarjana di Universiti Geosains China di Wuhan, barulah dia mula belajar secara rasmi daripada guru tarian.

Kemudian, Hu mula berkawan dengan pencinta tarian lain di universiti.

Tanpa studio tarian yang sesuai, mereka sering berlatih bersama di dataran di hadapan stadium universiti, yang dinding kacanya akan berfungsi sebagai cermin besar.

"Badan saya berisi, menjadikan saya tidak begitu yakin," imbas Hu.

"Namun begitu, suasana yang dicipta oleh pencinta tarian ini memberi inspirasi kepada saya untuk menari dengan penuh semangat dan melupakan kebimbangan tentang saiz badan saya."

Lin Jinyi ialah seorang lagi ahli HD Crew.

Dia pernah belajar menari di sebuah studio di daerah Chaoyang, dan

terpaksa menghabiskan tiga jam perjalanan pergi balik dari kampusnya di daerah Shijingshan dan studio tarian itu. Semasa berulang-alik, dia akan menonton tutorial dalam talian, menyelesaikan tugasan, menyemak gerakan tarian atau mendengar muzik untuk mengira masa dan rentak dalam fikirannya.

"Selepas saya menyertai HD Crew, saya mendapati bahawa terdapat ramai lagi di universiti kami yang mempunyai minat yang sama terhadap tarian seperti saya. Semangat kekitaan yang kuat membuatkan saya terharu," kata Lin.

"Satu perkara yang menarik ialah budaya hip-hop memberi inspirasi kepada orang ramai untuk 'tidak berpura-pura' manakala karya saintifik disokong oleh kejujuran.

"Walaupun sains nampak seperti tidak ada kena-mengena dengan hip-hop tetapi saya rasa kedua-duanya menjunjung nilai yang sama."

Tahun lalu, buat pertama kalinya, mereka berpeluang membuat persembahan di pentas besar.

Mereka dijemput untuk menyertai pertunjukan bakat kampus.

Pencinta tarian dari Universiti Sukan Beijing dan Universiti Minzu China bekerjasama untuk memberikan wajah baru kepada adaptasi artistik cerita rakyat China “Madame White Snake” dalam rancangan realiti kampus. (foto: China Daily)

Seramai 20 kelab tarian dari institusi pengajian tinggi telah dijemput untuk persembahan itu, termasuklah Universiti Pusat Kewangan dan Ekonomi, Universiti Sains dan Teknologi Macau, Universiti Sukan Beijing, Universiti Fudan dan Institut Seni Visual Shanghai, untuk menyertai beberapa pusingan pertandingan.

"Bukannya menjadikan persembahan itu tempat beradu kehandalan, sebaliknya kami lebih berfokuskan kepada menyampaikan bagaimana orang muda menyuarakan pemikiran mereka di atas pentas dan menggalakkan percubaan mereka mengekspresikan diri secara emotif menggunakan pergerakan artistik," kata Tang Yuan, penerbit rancangan itu.

Beberapa persembahan mereka menyampaikan refleksi mereka tentang pelbagai topik, termasuklah kes buli di sekolah, perlindungan alam sekitar dan pilihan bebas dalam perkahwinan. Beberapa adegan dihasilkan semula secara artistik daripada filem klasik dan lagenda Cina, manakala adegan-adegan yang lain menggabungkan unsur-unsur warisan budaya tidak ketara seperti piying, persembahan permainan bayang-bayang tradisional Cina, ke dalam koreografi.

Penari dari Konservatori Muzik Sichuan mementaskan persembahan yang diilhamkan oleh karya epic agung, “Dream of the Red Chamber”. (foto: China Daily)

Pertunjukan bakat itu memperoleh 7.9 mata daripada 10 di laman ulasan Douban.

"Pelajar dari universiti yang berbeza di seluruh negara berlatih dan bersaing dalam kumpulan, menunjukkan perpaduan yang kuat. Kekuatan kolektif membawa saya mengimbas kembali zaman kolej saya," komen seorang pengulas.

Tang Yaling, 22, graduan dari Konservatori Muzik Sichuan, juga ketua sebuah kelab tarian yang bernama Rich Family di universiti itu berkata, "ini adalah kali terakhir saya melakukan aktiviti berkumpulan dengan ahli kelab yang lain. Saya mahu melakukan yang terbaik dalam semua persembahan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada zaman universiti yang tidak dapat saya lupakan," katanya.

Gaya Hidup