China Gesa Fokus Kawalan Kesan Limpahan Impak Krisis Isu Ukraine

(CRI)Jumaat 25 November 2022

Kawalan kesan limpahan impak krisis perlu diutamakan dalam kerjasama masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan isu Ukraine.

Demikian ujar Naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang dalam ucapannya pada Majlis Keselamatan PBB untuk membahas isu Ukraine, pada Rabu.

Beliau berkata, China mengalu-alukan pelbagai pihak terlibat agar bersepakat untuk mencapai persetujuan perjanjian eksport pertanian dari pelabuhan Laut Hitam.

Menurut Geng, China juga berbesar hati setelah dimaklumibahawa sekretariat PBB akan meneruskan usaha untuk menyelesaikan sekatan yang dihadapi Rusia untuk mengeksport bijirin dan baja kimia.

"China berharap pelbagai pihak mengekalkan hubungan berdasarkan kemajuan tersebut dan berusaha agar mencapai lebih banyak perkembangan dalam sektor diplomatik," ujar beliau.

Tambah Geng, konflik Ukraine masih berlangsung ketika ini dengan kemudahan awam terus diserang, sekali gus mengakibatkan banyak kecederaan dan kematian serta ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai amat membimbangkan dan menggesa pelbagai pihak mengadakan perjumpaan terus untuk melancarkan semula rundingan dengan seawal mungkin.

"Masyarakat antarabangsa perlu bersama-sama menyokong semua usaha berkomitmen penyelesaian krisis Ukraine secara damai, mengelakkan konflik itu menjadi daripada meruncing, berusaha memastikan kestabilan rantai industri dan rantai bekalan sejagat, serta memperbaiki situasi kemanusiaan serantau," kata Geng.

Beliau turut berharap masyarakat antarabangsa membantu Ukraine untuk membaikpulih infrastruktur sumber tenaga yang dirosakkan, selain menghulurkan bantuan kepada penduduk tempatan untuk mengatasi cuaca sejuk.

Geng turut menyentuh mengenai keadaan loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia yang terjejas serius dalam serangan meriam serta mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa tentang berlakunya malapetaka nuklear.

Jelasnya, China menyokong Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diberi mandat meneruskan perbincangan dengan Rusia dan Ukraine mengenai keselamatan loji jana kuasa itu agar mencapai satu pakej penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak itu.

Geng menekankan bahawa pendirian China dalam isu Ukraine adalah konsisten dan jelas, selain turut memberitahu China akan bersama-sama masyarakat antarabangsa memainkan peranan konstruktif dalam penyelesaian krisis Ukraine.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan