Nilai Industri Fesyen Moden Shenzhen Cecah RMB1T

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 26 Disember 2022

Shenzhen Fashion Global Tour dan Shenzhen Fashion Consumption Week 2022 membuka tirai pada 22 November. Dengan tema “Fesyen Tanpa Batas, Shopping Rentas Sempadan”, aktiviti berkenaan bertujuan merangsang penggunaan dalam sektor fesyen secara dalam dan luar talian.

Menurut statistik terkini, nilai industri fesyen moden Shenzhen yang merangkumi pakaian, jam, kaca mata, perabot, barangan kulit dan barangan kemas telah mencecah satu trilion yuan.

Setakat tahun 2021, lebih 2,500 pengusaha jenama pakaian telah bertapak di Shenzhen, yang 90% daripadanya adalah milik sendiri. Syer pasaran jenama Shenzhen di pusat membeli-belah utama di bandar-bandar besar dan sederhana seluruh China dianggarkan melebihi 60%. Jualan tahunannya mencecah 270 bilion yuan iaitu 10% daripada jumlahnya di China.

Tahun lepas, nilai output industri jam Shenzhen merekodkan 68 bilion yuan, menyumbang 53% daripada jumlah output domestik dan 42% daripada jumlah output global. Tujuh daripada “Sepuluh Syarikat Jam Terbaik” di China berpangkalan di bandar Shenzhen.

Jumlah output tahunan kaca mata di Shenzhen melebihi 125 juta unit dengan nilai yang melebihi 10 bilion yuan. Nilai eksportnya menyumbang lebih daripada 80% jumlah keseluruhan, sementara output kaca mata mewah menyumbang 50% daripada jumlah output global.

Dalam pada itu, jualan tahunan bagi perabot keluaran Shenzhen adalah sebanyak 380 bilion yuan, mewakili lebih 50% daripada syer pasaran. Nilai eksportnya juga merekodkan 26.5 bilion yuan dan menyumbang 40% daripada jumlah eksport perabot domestik.

Jumlah syarikat berdaftar dalam sektor barangan kulit di Shenzhen kini melebihi 100 ribu dan melibatkan lebih 200 ribu pekerja. Nilai output tahunannya mencecah 50 bilion yuan. Antaranya, jualan domestik menyumbang kepada 80%, manakala jualan luar negara 20%.

Pengusaha barangan kemas yang berdaftar di Shenzhen juga melebihi 15 ribu dan purata nilai produk diproses adalah sebanyak 150 bilion yuan setiap tahun. Jumlah nilai produk emas dan platinum yang diproses di Shenzhen menyumbang kepada 80% daripada jumlah jualan fizikal di Shanghai Gold Exchange (SGE).

Pada masa ini, Shenzhen sedang giat mendorong perkembangan berkualiti industri fesyen moden dengan tujuan menjadi mercu tanda sektor tersebut di peringkat dunia dan menaikkan nama sebagai bandar fesyen antarabangsa yang baharu.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan