Lihat Betapa Munafiknya AS

(CRI)Selasa 03 Januari 2023

Kelonggaran pengurusan COVID-19 yang diumumkan China akhir-akhir ini berjaya memacu pemulihan sosioekonomi, sekali gus disahut baik oleh masyarakat antarabangsa sebagai rangsangan positif kepada ekonomi global.

Walau bagaimanapun, sesetengah negara antaranya Amerika Syarikat (AS) yang pernah mendesak China untuk membuka pintu sempadan, kini bertindak menyekat kemasukan pengembara China dengan dalih kemungkinan muncul mutasi strain baharu.

Penganalisis berpendapat, tingkah laku itu merupakan sandiwara politik yang dilakonkan negara terbabit dengan niat sekali lagi menyalahkan China atas nama COVID-19 untuk membendung dan mengasingkan negara Tembok Besar itu.

Secara saintifiknya, subvarian BA.5.2 dan BF.7 merupakan strain Omicron yang dominan dalam kes COVID-19 di China sekarang, yang sudah pun merebak di seluruh dunia.

Pakar kesihatan dari banyak negara bersetuju bahawa tiada keperluan untuk memperketat kemasukan pelancong dari China.

Peraturan baharu AS dan sesetengah negara lain kelihatan tiada asas saintifik dan mengabaikan fakta pencegahan wabak, malah kurang berkesan.

Secara rasional, China sudah beralih kepada keadaan baharu apabila patogenik dan virulens varian Omicron semakin lemah.

Negara itu berinisiatif mengumumkan pelonggaran kawalan dan pencegahan COVID-19 mengikut situasi yang berubah-ubah.

Kelonggaran itu dibuat tepat pada masanya dan amat diperlukan, dengan mengambil kira penambahbaikan berterusan dalam kaedah merawat, pengesanan patogen, vaksinasi dan lain-lain.

Di peringkat global, tempoh penyesuaian wajib dilalui apabila negara-negara mengubah suai dasar COVID-19, begitu juga bagi China.

Diingatkan bahawa sejak tiga tahun lalu, AS dan beberapa negara lain menunjukkan sikap banyak cakap terhadap dasar COVID-19 yang dilaksanakan China.

Saat China bertindak tegas untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat, negara berkenaan tampil mendesak China membuka pintu, dan mengkritik langkah itu kehilangan hak asasi dan kebebasan.

Apabila China membuat pengubahsuaian terhadap langkah kawalan COVID-19, mereka mula mencanangkan teori wabak China ‘ancaman’ kepada negara lain, di samping mengumumkan sekatan kemasukan yang bertentangan fakta dan bukti saintifik.

Betapa munafiknya pendekatan dwistandard ini!

Gaya Hidup

Berita Berkaitan