Laluan Kargo Antarabangsa Sanya-Singapura Dibuka

(CRI)Jumaat 13 Januari 2023

Penerbangan HT3818 yang berlepas dari Singapura tiba di Sanya dengan membawa muatan 10 tan kargo, pada Rabu.

Pembukaan laluan baharu tersebut sekali gus menandakan penyambungan semula operasi rasmi pelabuhan antarabangsa Lapangan Terbang Phoenix, provinsi Hainan, China.

Menurut maklumat lapangan terbang tersebut, ia merupakan penerbangan kargo antarabangsa pertama selepas China menyelaraskan dasar pembendungan COVID-19.

Memetik laporan tempatan, sebelum laluan kargo Sanya-Singapura dibuka, barangan import perusahaan bebas cukai di Sanya terpaksa dipindahkan melalui Guangzhou, Beijing dan tempat-tempat lain sebelum diangkut ke Sanya.

Difahamkan, keseluruhan proses pengangkutan itu bukan sahaja menelan belanja yang tinggi, tetapi juga memakan masa dan berisiko.

Selepas pembukaan laluan tersebut, masa import barangan bebas cukai boleh dipendekkan kepada 3 jam.

Sejajar dengan permintaan pasaran, pelan susulan laluan ini adalah untuk mengendalikan 2 hingga 3 penerbangan seminggu, terutamanya membawa barangan e-dagang rentas sempadan dan barangan bebas cukai.

Laluan ini akan mengoptimumkan rantaian logistik import barangan bebas cukai, dan mendorong pembinaan pusat penggunaan pelancongan antarabangsa di Sanya.

Untuk rekod, Lapangan Terbang Phoenix Sanya merancang untuk mempromosikan pembukaan lebih banyak laluan kargo antarabangsa pada masa hadapan.

Laluan-laluan tersebut dirancang mula beroperasi secara beransur-ansur dalam tahun ini, supaya dapat meningkatkan keupayaan Sanya sebagai hab penerbangan, dan mendorong pembinaan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan.  

Gaya Hidup