Peruntukan dalam R&D di China Melepasi RMB3 Trilion 2022

(CRI)Selasa 24 Januari 2023

Peruntukan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China terus mengekalkan pertumbuhan pada dua digit, dengan jumlahnya mencapai RMB3 trilion (RM1.90 trilion) pada 2022.

Menurut data yang diumumkan Biro Statistik Negara (NBS), aktiviti R&D di China mengalami impak yang luar jangkaan pada tahun lalu.

“Namun, dengan pertambahan belanjawan perusahaan dan sokongan kerajaan, serta penyempurnaan sistem ganjaran dan galakan sains dan teknologi, kedinamikan inovatif pasaran berjaya dirangsang, di samping mendorong peruntukan R&D seluruh masyarakat naik ke tahap yang baharu,” memetik kenyataan NBS.

Dimaklumkan, jumlah peruntukan dalam R&D China pada 2022 diunjurkan mencatat RMB3.09 trilion (RM1.95 trilion), buat kali pertama melepasi tahap RMB3 trilion, meningkat 10.4% berbanding 2021, sekali gus mengekalkan pertambahan pada dua digit selama tujuh tahun berturut-turut sejak tahun 2016.

Menurut pengiraan dengan harga tetap, kadar peningkatan peruntukan R&D naik 8%, lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Lima Tahun ke-14 (FYP14) iaitu sebanyak 7%.

Sementara itu, peruntukan R&D asas pada tahun lalu juga menyaksikan peningkatan, manakala bidang inovasi turut berjaya mencapai kemajuan.

Mengikut pengiraan awal, bayaran R&D asas di China pada 2022 berjumlah RMB195.1 bilion (RM123.24 bilion), meningkat 7.4%, iaitu menduduki 6.32% daripada bayaran keseluruhan dalam R&D.

Ia secara tidak langsung mengekalkan kadar pertumbuhan sebanyak 6% ke atas untuk empat tahun berturut-turut, dan berperanan positif bagi memperhebat kemampuan inovatif negara Tembok Besar.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan