Tauhu Busuk Changsha: Sekali Rasa, Pasti Tak Lupa

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 24 Februari 2023

Baunya busuk, tetapi rasanya sedap.

Jika setiap bandar mempunyai rasa unik sendiri, rasa bandar Changsha mestilah rasa tauhu busuk.

Tauhu busuk Changsha. (foto: Yuan Meng/People.cn)

Dipilih, direndam, ditapis, direbus, ditapai… kacang soya disiapkan melalui proses yang pelbagai hinggalah menjadi tauhu busuk. Aromanya yang unik acap kali menyengat, memaksa ramai memicit hidung untuk mengelakkan bau.

Bagaimanapun, amat mudah bagi tukang masak berpengalaman untuk memilih fermentasi yang paling baik daripada kepingan-kepingan tauhu busuk yang tersedia, lalu memasukkannya ke kuali minyak mendidih hingga menjadi tauhu busuk goreng yang rangup.

Deng Lili di jalan tempat terletak kedainya. (foto: Yuan Meng/People.cn)

Deng Lili seorang tukang masak yang kepakarannya ialah membuat tauhu busuk goreng. Tauhu busuk buatannya ada satu keistimewaan, iaitu ditebuk dan diisi dengan kuah dan sos cili, dihidangkan dengan ketumbar dan lobak dipotong dadu. Rangup di luar dan lunak di dalam. Apabila dimakan terasa sepenuhnya jusnya, suatu rasa yang pasti tidak luput daripada ingatan.

Kedai tauhu busuk Deng terletak di salah satu kawasan yang paling makmur di bandar Changsha, dikunjungi ramai pelanggan setiap hari. Dalam tempoh Tahun Baharu Cina tahun ini, Deng boleh menjual sebanyak 10,000 hidangan tauhu busuk. Pelanggan beratur hingga seberang jalan.

Pelanggan sedang mengambil gambar di depan kedai Deng Lili. (foto: Yuan Meng/People.cn)

"Setiap kali saya dengar pelanggan kata 'sedap betul tauhu busuk kamu' atau 'tidak sia-sia datang ke mari', saya rasa amat gembira."

Tauhu busuk telah sekian lama menjadi peneman hidup penduduk Changsha. Rasa istimewanya telah dicetak dalam ingatan setiap orang yang datang, menjadikannya simbol paling nyata bagi kota ini.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan