Apakah Pekerjaan Baharu yang Dicari-cari Golongan Muda?

Graduan yang sedang mencari pekerjaan. (foto: IC)

Pada 2023, bilangan graduan universiti di China dijangka mencatat rekod tertingginya iaitu 11.58 juta orang. Memandangkan betapa tingginya angka ini, amat mustahaklah peluang kerja diperbanyak. Sejajar dengan perkembangan ekonomi digital dan perubahan dalam tabiat penggunaan, format ekonomi baharu telah meluaskan jenis pekerjaan yang fleksibel untuk golongan muda. Menurut data kerajaan China pada 2021, jumlah orang yang terlibat dalam kategori pekerjaan fleksibel telah mencapai lebih 200 juta.

Perkhidmatan memasak dan menjaga haiwan peliharaan di rumah, satu trend baharu

Zhen Zai yang lahir pada alaf baharu ini, pernah bekerja sebagai pengarah operasi di sebuah syarikat katering. Semasa wabak COVID-19 melanda, dia cuba memasak untuk kawan-kawan dan menghantar rakaman video yang diambilnya ke platform dalam talian. Dalam dua bulan sahaja, dia sudah pun mempunyai 7,000 peminat. Sekarang, dia menjadi tukang masak khas yang datang ke dapur pelanggan.

Zhen Zai berkata, cajnya untuk memasak di rumah pelanggan adalah 198 yuan (kira-kira 128 ringgit) untuk empat hidangan. Caj tambahan akan dikenakan untuk hidangan rumit. Caj untuk jamuan keluarga pula 688 yuan (lebih kurang 446 ringgit) minimum, dan menu akan dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu.

Maomao yang sedang bekerja di Beijing mempunyai pekerjaan sambilan, iaitu menguruskan haiwan peliharaan di rumah pelanggan. Dia akan datang ke rumah pelanggan untuk memberi makanan kepada kucing, menukar air minum, membersihkan najis kucing dan bermain dengannya selama 10 minit. "Caj saya ialah 50 yuan (anggaran 32 ringgit) sejam. Cara ini lebih selamat berbanding dengan meletakkannya di kedai haiwan peliharaan," kata Maomao.

Dengan perkembangan Internet, perkhidmatan seumpama telah menjadi trend baharu dalam usaha mengejar kemudahan dan kecekapan. Ramai orang memperoleh pekerjaan baharu melalui trend ini. Menurut data, bilangan graduan universiti di China pada 2023 dijangka mencapai 11.58 juta orang. Untuk menghadapi isu pekerjaan, tujuh kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Teknologi dan Kementerian Sumber Manusia bersama-sama melancarkan “Pelan Tindakan Pekerjaan Nasional” untuk menawarkan peluang kerja berkualiti tinggi yang menyasarkan graduan universiti bagi tahun 2022 dan 2023.

Populasi terlibat dalam pekerjaan fleksibel semakin meningkat, panduan dasar berkenaan diumumkan

Walaupun peraturan bagi mengawal selia pekerja yang menawarkan servis pintu ke pintu lebih longgar jika dibandingkan dengan pekerja pejabat biasa, namun pekerjaan fleksibel bukanlah semudah yang dibayangkan.

“Saya bangun pada pukul 9.00 pagi setiap hari, lalu pergi ke rumah pelanggan untuk memasak makan tengah hari. Selepas itu, saya bergegas ke rumah pelanggan yang lain pada pukul 4.00 petang untuk memasak makan malam. Kadang-kadang ada tempahan kudapan lewat malam. Ketika saya balik ke rumah sendiri, sudah pun pukul 2.00 pagi,” beritahu Zhen Zai.

Jelasnya lagi, pekerjaan fleksibel tidak bermaksud pekerjaan ringan, malahan waktu kerjanya lebih panjang.

Sewaktu pekerjaan fleksibel tampil sebagai tunjang baharu untuk menjamin sumber pencarian penduduk, timbullah persoalan bagaimana hendak mendorong sektor pekerjaan ini agar memainkan peranannya dengan lebih berkesan melalui undang-undang. Berhubung hal ini, Shanghai baru-baru ini mengumumkan garis panduan berkenaan.

Pada 25 Februari, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Bandar Shanghai ke-16 meluluskan peraturan bagi merancakkan sektor pekerjaan, berkuat kuasa sejak 1 Mac. Peraturan ini termasuk langkah terperinci dari segi perkhidmatan, latihan vokasional dan perlindungan hak untuk orang yang terlibat dalam pekerjaan fleksibel. Selain itu, dokumen tersebut juga menggariskan jenis-jenis pekerjaan baharu yang sah, menentukan peraturan bagi platform untuk mengupah kakitangan, serta membina sistem perlindungan kecederaan di tempat kerja untuk jenis-jenis pekerjaan baharu.

Ekonomi digital mencipta pekerjaan baharu, jabatan berkenaan mengukuhkan penyeliaan

Pekerjaan fleksibel bukan perkara baharu. Menurut data, hampir 90% graduan bersedia melibatkan diri dalam pekerjaan fleksibel.

Laporan penyelidikan iResearch menunjukkan bahawa sekarang ekonomi menghadapi penguncupan permintaan, kekurangan penawaran dan prospek yang tidak menentu. Ketiga-tiga faktor tersebut yang dijangka tidak akan lenyap begitu sahaja dalam tempoh masa pendek meningkatkan tekanan pekerjaan buat para graduan. Pada masa yang sama, perkembangan pesat ekonomi digital tidak henti-henti mencipta pekerjaan baharu.

Pada zaman ekonomi digital ini, evolusi alat-alat produktiviti juga akan melahirkan bentuk baharu dalam hubungan tenaga kerja. Berbanding dengan hubungan buruh tradisional yang mengejar “stabiliti”, bentuk hubungan baharu adalah lebih fleksibel. Syarikat dan kakitangan mungkin tidak lagi mempunyai hubungan pekerjaan secara langsung, tetapi berhubung melalui platform pihak ketiga dan menjalin hubungan kerjasama tiga pihak.

Namun demikian, dalam pekerjaan baharu yang menawarkan servis pintu ke pintu, masih wujud masalah tersembunyi yang perlu diberi perhatian, baik oleh pekerja mahupun pelanggan. Contohnya, cara untuk merungkai pertikaian, serta aspek keselamatan makanan dan keselamatan diri.

Xu Hao, peguam di Beijing Jingsh Law Firm, mencadangkan bahawa jika perkhidmatan seumpama melibatkan platform pihak ketiga, ia haruslah memantau dengan rapi dan membina sistem penilaian perkhidmatan.

Xu juga menekankan bahawa jabatan perdagangan, jabatan keselamatan dan persatuan pengguna harus mengukuhkan penyeliaan terhadap model ekonomi baharu. Ini bukan sahaja bagi melindungi hak dan kepentingan peribadi, tetapi juga membimbing model ekonomi baharu beroperasi secara sah.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan