Jurugaya Gen Z Indonesia Terpesona dengan Budaya Etnik di China

“China sebuah gedung khazanah. Budaya etnik berwarna-warni yang ada di sini menjadi sumber inspirasi kepada saya. Saya percaya hasil-hasil rekaan yang mengintegrasikan unsur-unsur budaya China dan Indonesia pasti akan menarik perhatian ramai,” ujar Pei Youshu, seorang jurugaya Gen Z keturunan Cina dari Indonesia, dalam temu bual dengan China News Service.

“Saya amat gemar akan tarian dan pakaian tradisional milik etnik-etnik di China. Sudah lama saya hendak datang ke China untuk belajar budaya China yang sebenar,” kata Pei, yang sedang dalam tahun ketiganya mengikuti kursus sarjana muda penggayaan fesyen di Kolej Filem, Televisyen dan Media, Universiti Seni Guangxi di bandar Nanning, tenggara China.

Pei Youshu, jurugaya Gen Z dari Indonesia yang belajar di China, sedang mereka bentuk aksesori rambut. (Foto/Wang Yizhao)

Pei diterima oleh Universiti Seni Guangxi pada tahun 2020. Selepas pandemik COVID-19 memaksanya mengikuti kuliah secara dalam talian selama dua tahun, barulah dia menjejakkan kaki ke bumi Nanning pada November lalu dan memulakan perjalanan baharu dalam pembelajarannya di kota itu.

Sebelum datang untuk belajar, anak muda ini telah mengunjungi banyak lokasi di serata China termasuk Beijing, Nanjing, Harbin, Hong Kong dan Shenzhen.

Memandangkan Guangxi tempat tinggalnya 12 kelompok etnik yang setiap satu daripadanya mempunyai budaya yang unik dan gemilang, Pei cukup menantikan-nantikan peluang untuk melawat ke muzium dan bandar-bandar di wilayah itu bagi menyelami budaya etnik tempatan serta mencari inspirasi dan bahan untuk kerja-kerja reka bentuknya.

Sebahagian usaha untuk mengenali ciri-ciri pakaian tradisional kesemua 56 etnik di China, Pei menonton video-video yang memaparkan kostum dan sejarah kelompok etnik berbeza sekiranya ada keluangan waktu. Dia juga mengisi masa lapang dengan mengikuti kursus latihan kemahiran melukis, kerana hendak memperhalus ekspresi konsep-konsep reka bentuk.

“Saya pernah melihat baju tradisional etnik Zhuang, dan mampu menjadikannya lebih indah dan menawan tanpa mengubah bentuk asalnya,” kata Pei, teruja.

Pei Youshu, jurugaya Gen Z dari Indonesia yang belajar di China, sedang sibuk menyusun rekaan aksesori rambut. (Foto/Wang Yizhao)

“Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kian banyak unsur budaya China yang dapat dilihat di Indonesia, dan begitu ketara popularitinya dalam kalangan orang tempatan. Jika unsur-unsur China dapat digabungkan dengan rekaan pakaian dan penggayaan orang Indonesia, akan lahirlah satu trend fesyen yang serba baharu,” ujarnya lagi.

“Lihatlah pakaian yang saya reka berdasarkan ceongsam (atau Qipao). Saya tambahkan sedikit aksesori yang cantik dan menjadikannya begitu anggun.”

Walaupun Pei orang baru dalam industri fesyen Indonesia, namun pemuda berumur awal 20-an ini sudah pun menempa nama dengan rekaan-rekaan yang banyak mendapat anugerah besar dalam industri berkenaan.

Pei ingin menjadi jurugaya yang mahir, dan berharap hasil tangannya mendapat tempat di pentas-pentas utama di China, kemudian diketengahkan di persada antarabangsa.

Pei Youshu, jurugaya Gen Z dari Indonesia yang belajar di China, sedang membuat aksesori. (Foto/Wang Yizhao)

“Puan Huang boleh membantu saya merealisasikan impian ini,” kata Pei, sambil menambah bahawa Huang Yanbing, salah seorang pensyarahnya di Universiti Seni Guangxi, telah memberi bimbingan profesional dan ruang yang secukupnya untuk dia memenuhi potensi diri. Ini justeru membolehkannya berasa yakin terhadap masa depan.

Menurut Pei, Huang mengambil berat akan hidupnya sama seperti ibunya sendiri. Dia melihat guru itu sebagai satu lagi “khazanah” yang ditemuinya di China selain budaya etnik yang gemilang.

Dekatnya dari segi geografi dan rapatnya ikatan antara generasi-generasi lampau di Guangxi dan negara-negara Asia Tenggara, menjadikan wilayah itu kawasan pentadbiran peringkat provinsi China yang paling banyak menerima kedatangan pelajar dari ASEAN.

Pada 2019, bilangan pelajar ASEAN yang menuntut ilmu di Guangxi melebihi angka 10,000 buat julung kalinya.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan