Pemulihan Hubungan Arab Saudi dan Iran, Kemenangan Dialog dan Keamanan

(CRI)Isnin 13 Mac 2023

Kenyataan bersama China, Arab Saudi, dan Iran di Beijing pada malam 10 Mac menjadi berita utama oleh media-media utama di seluruh dunia. Dalam kenyataan itu, ketiga-tiga negara mengumumkan bahawa Arab Saudi dan Iran mencapai perjanjian penting, bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik, membuka semula kedutaan dan pejabat perwakilan dalam tempoh dua bulan, saling menghantar duta, dan membincangkan peningkatan hubungan dua hala.

Ketiga-tiga negara juga menyatakan kesediaan untuk melakukan segala usaha untuk memperkukuh keamanan dan keselamatan antarabangsa dan serantau.

Media-media antarabangsa memberikan komen positif, sedangkan media Barat yang selalu "mencari tulang di dalam telur" juga menyanjung tinggi usaha pengantaraan China kali ini.

Negara-negara di rantau Asia Barat seperti Iraq, Oman, Lubnan dan beberapa negara lain mengalu-alukan hasil dialog Arab Saudi dengan Iran di Beijing.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menzahirkan terima kasih kepada China yang menjayakan dialog itu yang kondusif kepada kestabilan di rantau Teluk.

Mengapa Arab Saudi dan Iran memilih untuk mengadakan dialog di Beijing?

Ini kerana China menyokong kemerdekaan strategik negara-negara Asia Barat dan menyokong mereka menyelesaikan masalah melalui dialog dan permuafakatan. China ialah rakan sejati yang boleh dipercayai bagi negara-negara Asia Barat. Dialog antara Arab Saudi dengan Iran di Beijing kali ini adalah berdasarkan konsensus yang dicapai oleh pemimpin ketiga-tiga negara.

Pada Disember lalu, Presiden China, Xi Jinping menghadiri Sidang Kemuncak China-Negara-negara Arab, Sidang Kemuncak China-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak China-Arab Saudi. Pada Februari lalu pula, Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengadakan lawatan rasmi ke China. Hasil dialog Beijing kali ini mencerminkan bahawa, sebagai pengantara yang jujur dan boleh dipercayai, China telah menunaikan tanggungjawab sebagai tuan rumah dan memperlihatkan tanggungjawab sebuah negara besar.

Arab Saudi dan Iran adalah dua negara besar di rantau Asia Barat. Perdamaian antara kedua-dua negara itu telah membuka jalan kepada keamanan dan kestabilan di rantau itu, sekali gus menjadi teladan untuk menyelesaikan konflik dan percanggahan pendapat melalui dialog dan permukafakatan.

Sementara itu, perdamaian Arab Saudi dan Iran memaparkan nilai berharga Inisiatif Keselamatan Global (GSI). Pada April 2022, Presiden Xi Jinping mengemukakan GSI, mengesyorkan semua negara agar berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan bersama-sama menempuh jalan pembangunan damai. Pada Februari lalu pula, China mengeluarkan dokumen mengenai konsep GSI, membentangkan perincian tentang pelaksanaan inisiatif itu.

Perdamaian Arab Saudi dan Iran telah memberikan isyarat positif kepada dunia yang bergolak buat masa ini. Ia adalah "kemenangan dialog dan kemenangan keamanan." Perdamaian ini memberitahu dunia dengan fakta bahawa, kekerasan tidak dapat menyelesaikan masalah, dan dialog adalah satu-satunya jalan keluar.

Tidak kira betapa kompleksnya masalah dan betapa teruknya cabaran yang dihadapi, selagi kita menjalankan dialog sama rata dan saling menghormati, kita pasti akan mencapai penyelesaian yang diterima semua pihak.  

Gaya Hidup

Berita Berkaitan