Pasaran Pengkomputeran Awan China Berkembang Pesat

(CRI)Rabu 26 Julai 2023

Pasaran pengkomputeran awan China berada pada fasa pembangunan pesat, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun melebihi 40 peratus.

Demikian lapor Kertas Putih Pengkomputeran Awan 2023 yang dikeluarkan oleh Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China (CAICT) pada Selasa.

Menurut kertas putih itu, saiz pasaran pengkomputeran awan global merekodkan angka sekitar RMB3.5 trilion (RM2.23 trilion) pada 2022, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 19 peratus tahun ke tahun.

Kertas putih itu turut mengunjurkan pertumbuhan tersebut untuk terus berkembang stabil dengan mengambil kira faktor seperti rangsangan permintaan untuk model besar dan kuasa pengkomputeran.

Pada 2022, saiz pasaran pengkomputeran awan China mencapai angka RMB455 bilion (RM290.01 bilion), menyaksikan peningkatan sebanyak 40.91 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kertas putih itu turut menjangkakan bahawa saiz pasaran pengkomputeran awan China akan melangkaui jumlah RMB1 trilion (RM637.4 bilion) menjelang 2025.

Timbalan Pengarah Institut Pengkomputeran Awan dan Data Raya CAICT, Li Wei menyatakan bahawa pihak perusahaan mempunyai permintaan yang sangat kuat untuk pengkomputeran awan sekiranya dilihat dari sudut pandangan pasaran.

"Dahulu, hanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berasaskan Internet menggunakan perkhidmatan pengkomputeran awan.

"Namun pada masa ini, perusahaan besar milik kerajaan, dan sejumlah besar PKS dari industri konvensional juga menggunakan pengkomputeran awan di negara ini. Ia sekali gus memberi cerminan bahawa saiz pasaran keseluruhan pengkomputeran awan China akan terus berkembang pesat," ujar beliau.

Berita Berkaitan