Bagaimana Punca Sungai Dikenal Pasti?

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 28 Julai 2023

Foto menunjukkan Sungai Qumar, punca utara Sungai Yangtze, yang terletak di provinsi Qinghai, barat laut China. (foto: Jiang Feng/People’s Daily)

Punca sesebuah sungai dikenal pasti menerusi eksplorasi dan ekspedisi saintifik yang dijalankan dengan cermat dan teliti.

Jelas Xu Ping, ketua jurutera dari Institut Penyelidikan Saintifik Sungai Changjiang (CRSRI) semasa temu bual bersama People's Daily, terdapat pelbagai faktor yang menjadi pertimbangan dalam hal ini.

Menurut Xu, sumber air di huluan yang terletak paling jauh dari muara sungai ataupun yang paling banyak menyumbang kepada pertambahan lagi air sungai biasanya dianggap sebagai punca.

Selain aspek "panjang" dan "sumbangan kepada pertambahan lagi air sungai", amalan-amalan yang sedia ada, perjalanan sungai serta altitud antara faktor lain yang juga diambil kira sewaktu menentukan punca sesebuah sungai.

Sungai Yangtze, sungai terpanjang di China yang mengalir melalui 11 provinsi, mempunyai tiga punca, yakni Sungai Tuotuo, Sungai Damqu di selatan dan Sungai Qumar di utara.

Foto menunjukkan Sungai Damqu, punca selatan Sungai Yangtze, yang terletak di provinsi Qinghai, barat laut China. (Foto oleh Zhang Long/Xinhua)

Foto menunjukkan Sungai Damqu, punca selatan Sungai Yangtze, yang terletak di provinsi Qinghai, barat laut China. (foto: Zhang Long/Xinhua)

Ketika membicarakan sama ada Sungai Tuotuo atau Sungai Damqu yang patut dianggap sebagai punca utama Sungai Yangtze, Xu mengenang kembali beberapa pertikaian yang pernah timbul.

Pada hujung tahun 1970-an, satu pasukan ekspedisi saintifik yang terdiri daripada saintis China untuk kali pertamanya menelusuri sumber aliran Sungai Yangtze hingga ke Gunung Salji Geladandong, iaitu puncak tertinggi Pergunungan Tanggula di Penara Qinghai-Tibet. Selangkah dengan selangkah, pasukan tersebut kemudiannya mengenal pasti tiga punca Sungai Yangtze.

Sungai Tuotuo dan Damqu lebih kurang sama panjang. Akan tetapi, Sungai Tuotuo yang mempunyai jarak linear paling panjang dari kuala Sungai Yangtze. Pada masa yang sama, pasukan ekspedisi itu juga mendapati bahawa arah aliran Sungai Damqu hampir berlawanan dengan Sungai Yangtze. Berdasarkan pelbagai faktor yang berbeza ini, maka dianggap lebih masuk akal bahawa Sungai Tuotuo yang menjadi punca Sungai Yangtze.

Foto menunjukkan Sungai Tuotuo, punca utama Sungai Yangtze, yang terletak di provinsi Qinghai, barat laut China. (foto: Zhang Hongxiang/Xinhua)

Foto menunjukkan Sungai Tuotuo, punca utama Sungai Yangtze, yang terletak di provinsi Qinghai, barat laut China. (foto: Zhang Hongxiang/Xinhua)

Kawasan Sanjiangyuan di China atau punca tiga sungai iaitu Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Lancang (Mekong), merupakan tempat letaknya kira-kira 4,900 kilometer persegi gunung-ganang yang dilitupi salji. Di Sanjiangyuan juga adanya sumber glasier yang dianggarkan mencecah kira-kira 200 bilion meter padu. Memandangkan kawasan itu memainkan peranan penting dalam pembekalan sumber air tawar di China dan memiliki kapasiti takungan air yang luar biasa besarnya, Xu Ping berasa amat sesuai jika ia diberi gelaran "menara air China".

Sejak 2012, pasukan Xu sudah menjalankan ekpedisi tanpa putus untuk menyiasat punca-punca Sungai Yangtze, dengan skop penyelidikan yang terus-menerus diperluas dan kaedah eksplorasi pula semakin pelbagai.

Ekspedisi di sana boleh dikatakan amat berhasil. Xu memaklumkan bahawa dapatan setakat ini telah membolehkan para saintis lebih memahami keadaan ekologi di lokasi-lokasi yang berkenaan. Ini justeru meletakkan asas yang lebih kukuh bagi pelaksanaan dasar-dasar perlindungan punca sungai.

Berita Berkaitan