Xi Utus Tahniah Genap Sedekad CPEC Dilancar

(CRI)Selasa 01 Ogos 2023

China bersedia bekerjasama dengan Pakistan ke arah mengangkat Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) sebagai projek contoh pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi.

Demikian kata Presiden China Xi Jinping menerusi perutusan tahniah sempena sambutan genap sedekad pelancaran CPEC yang diadakan di Islamabad, Pakistan pada Isnin.

Xi berkata sebagai projek rintis penting di bawah BRI, pembinaan CPEC terus dimajukan berasaskan prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, sehingga mencapai banyak hasil pada fasa awalnya.

Ia turut menyuntik penggerak baharu kepada pertumbuhan sosioekonomi Pakistan, sekali gus meletakkan asas baik untuk kesalinghubungan dan integrasi serantau.

Beliau menyifatkan CPEC sebagai cerminan keutuhan persahabatan China-Pakistan, dan memberi sokongan kukuh bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara yang lebih erat pada era baharu.

Xi menyatakan China akan sentiasa berdiri teguh bersama Pakistan, tidak kira apa jua perubahan yang berlaku dalam landskap antarabangsa.

Tambah beliau, kedua-dua negara akan menggerakkan kolaborasi pada taraf lebih tinggi dengan skop lebih luas, sekali gus melonjakkan perkongsian strategik sepanjang masa China-Pakistan ke tahap baharu.

Berita Berkaitan