BRI Ubah Stesen Kereta Api Kecil Jadi Hab Sibuk

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 04 Ogos 2023

Foto udara yang diambil pada 30 Jun 2023 ini menunjukkan sebuah kereta api kargo China-Eropah bersedia untuk berlepas dari stesen Tuanjiecun di bandar Chongqing, barat daya China. (Xinhua/Tang Yi)

Foto udara yang diambil pada 30 Jun 2023 ini menunjukkan sebuah kereta api kargo China-Eropah bersedia untuk berlepas dari stesen Tuanjiecun di bandar Chongqing, barat daya China. (Xinhua/Tang Yi)

Meskipun lebih sedekad telah berlalu, Jiang Tong, pemandu lokomotif elektrik yang berasal dari bandar Chongqing, masih ingat dengan jelas betapa terujanya dia semasa terlibat dalam perjalanan sulung kereta api kargo China-Eropah pada 2011.

Jiang merupakan pemandu bagi kereta api pertama yang menggunakan laluan rel Chonqing-Xinjiang-Eropah, yang kemudiannya menjadi laluan kereta api kargo China-Eropah. Tren tersebut memulakan perjalanan dari stesen Tuanjiecun di celah-celah tanah ladang di Chongqing, ketika itu dengan kru kecil yang tidak sampai 30 orang.

Pada mulanya, stesen berkenaan hanya melihat satu kereta api kargo China-Eropah sebulan. Berikutan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), bilangan kereta api China-Eropah melonjak kepada 2,241 tahun lalu daripada 17 pada 2011.

“Stesen ini telah naik statusnya kepada stesen kelas pertama dengan lebih 600 kakitangan,” kata Zhang.

Transformasi stesen Tuanjiecun benar-benar mencerminkan kemajuan pantas kereta api kargo China-Eropah.

Menurut China State Railway Group Co., Ltd., jumlah larian kereta api tersebut tahun ini mencecah paras 10,000 minggu lepas, 22 hari lebih awal daripada tahun lalu. Jumlah barangan yang diangkut pula melebihi 1.08 juta TEU, naik 27 peratus berbanding 2022.

“Dulu, kereta api dari Tuanjiecun cuma dapat sampai ke Guangzhou. Tak pernah saya terfikir yang kereta api ini boleh sampai ke Eropah pada suatu hari,” Zhang berkata.

Dengan semakin meningkatnya kedudukan Tuanjiecun dalam jaringan rel global, stesen itu telah disambungkan dengan negara-negara Asia Tenggara susulan pelancaran Rel China-Laos pada 2021. Tahun ini, laluan rel itu mengatur penghantaran sekumpulan kenderaan tenaga baharu yang dikilangkan di Chongqing ke negara-negara ASEAN.

Tuanjiecun juga salah satu titik penting dalam Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, laluan dagang dan logistik yang menghubungkan bahagian barat China dan negara-negara ASEAN. Koridor ini antara projek utama di bawah BRI.

“Mula-mula, kami mengangkut barangan seperti komputer riba dan produk elektronik. Namun, dengan perkembangan pesat BRI, kereta api kami kini mengendalikan berbagai-bagai jenis kargo, termasuk hasil pertanian dan automobil,” jelas Jiang. “Operasi kami sudah menjadi semakin sibuk, dan saya berasa bangga dapat menyaksikan perubahan ini.”

“Untuk fasa seterusnya, fokus kami adalah pada usaha melengkapkan lagi laluan rel, agar mewujudkan sambungan yang lancar antara laluan tren kargo China-Eropah dan koridor-koridor logistik antarabangsa lain yang sama pentingnya,” maklum Zhuo Biyuan dari China State Railway Group Co., Ltd., sambil menambah bahawa langkah ini menyasarkan hubungan lebih rapat dengan BRI.

Berita Berkaitan