Helikopter Versatil Baharu Selesai Ujian Dataran Tinggi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 21 November 2023

Helikopter angkat berat AC313A bersedia untuk menjalani pusingan pertama penerbangan ujian dalam persekitaran dataran tinggi. (foto/China Daily)

Helikopter angkat berat AC313A bersedia untuk menjalani pusingan pertama penerbangan ujian dalam persekitaran dataran tinggi. (foto/China Daily)

AC313A, helikopter pelbagai guna angkat berat yang dibangunkan oleh Aviation Industry Corp of China, berjaya menyelesaikan pusingan pertama penerbangan ujian di persekitaran dataran tinggi baru-baru ini.

Menurut Xie Xiaowen, timbalan pengurus besar pembuat helikopter AVIC Changhe Aircraft Industry di Jingdezhen, provinsi Jiangxi, prototaip AC313A pada awal bulan ini menyelesaikan penerbangan ujian dataran tinggi selama dua bulan sebelum kembali ke Lapangan Terbang Jingdezhen Lyumeng.

"Prototaip itu terbang ke Lapangan Terbang Huangguoshu (di Anshun, provinsi Guizhou) pada 10 September."

"Ia menjalankan beberapa penerbangan ujian dari Huangguoshu, iaitu 1,600 meter di atas paras laut, dan kemudian terbang ke Lapangan Terbang Ninglang Luguhu (di Lijiang, provinsi Yunnan), yang mempunyai ketinggian 3,300 meter. Perhentian terakhir ialah Lapangan Terbang Daocheng Yading (di daerah autonomi Tibet Garze, provinsi Sichuan), iaitu kira-kira 4,400 meter di atas paras laut," katanya pada Jumaat.

Jelas Xie, juruterbang menerbangkan helikopter ke ketinggian maksimum 6,000 meter dan melakukan pelbagai gerakan semasa ujian berlangsung.

“Ujian itu membolehkan pereka bentuk memeriksa prestasi helikopter dalam persekitaran dataran tinggi serta keupayaan enjin, peranti pendorong tambahan dan sistem kawalan penerbangan."

“Data dan pengalaman yang diperoleh boleh digunakan dalam persediaan teknikal untuk proses pensijilan kelayakan udara model tersebut," ujar eksekutif itu.

Direka oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Helikopter China, AC313A berukuran 19.3 meter panjang dan 4.4 meter lebar dengan berat berlepas maksimum 13.8 tan metrik.

Ketua pereka AC313A, Liu Wenqi berkata bahawa pesawat dua juruterbang itu boleh mengangkut 28 penumpang, selain mampu memenuhi pelbagai jenis tugas seperti pengangkutan kakitangan dan kargo, pemadam kebakaran, bantuan bencana, penyelamatan kecemasan, bantuan perubatan serta rondaan maritim.

Untuk rekod, helikopter itu menjalankan penerbangan sulungnya di Jingdezhen pada Mei tahun lepas.

Sementara itu, Xie berakta, berikutan ujian dataran tinggi, prototaip itu akan melakukan penerbangan di kawasan dengan suhu yang sangat rendah.

Tambah beliau, pasukannya turut merancang untuk menyelesaikan semua kerja pensijilan kelayakan udara menjelang akhir 2025 sebelum menghantar helikopter kepada pembeli.

"Helikopter itu akan membantu menyelesaikan kekurangan kenderaan pengangkutan yang diperlukan untuk misi mencari dan menyelamat kecemasan, serta menambah baik pergerakan kakitangan dan kargo di kawasan dataran tinggi seperti Tibet," kata Xie lagi.

Menurut pereka bentuk, berbanding dengan edisi terdahulu iaitu AC313, AC313A menampilkan enjin, rotor dan gear transmisi baharu, serta sistem avionik, kawalan penerbangan dan hidraulik yang dipertingkatkan, manakala ruang dalamannya lebih besar daripada AC313.

Video