Lebih Ramai Dapat Nikmati Transit Bebas Visa

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 22 November 2023

Pengunjung berinteraksi dengan pempamer di reruai Malaysia di China International Travel Mart 2023 di Kunming, provinsi Yunnan, pada Jumaat. (foto/China News Service)

Pengunjung berinteraksi dengan pempamer di reruai Malaysia di China International Travel Mart 2023 di Kunming, provinsi Yunnan, pada Jumaat. (foto/China News Service)

Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) memaklumkan bahawa dasar transit bebas visa 72 jam dan 144 jam China kini diperluas kepada pelawat dari 54 negara, dengan Norway menjadi tambahan terkini dalam senarai.

Menurut Pengarah Jabatan Pengurusan Warga Asing NIA, Mao Xu, antara negara yang terkecuali daripada visa transit itu termasuk 40 dari Eropah, enam dari Asia dan empat dari Amerika Selatan. Warga dari negara-negara berkenaan dibenarkan melakukan perjalanan atau menjalankan aktiviti berkaitan perniagaan di kawasan tertentu yang dibenarkan oleh pihak berkuasa visa pelabuhan.

Beliau berkata demikian semasa China International Travel Mart 2023 yang diadakan di Kunming, provinsi Yunnan, pada Jumaat.

Untuk rekod, 20 bandar besar termasuk Beijing, Shanghai, Tianjin, Chongqing serta Shenzhen dan Guangzhou di provinsi Guangdong, Nanjing di provinsi Jiangsu dan Chengdu di provinsi Sichuan, menggunakan dasar transit bebas visa 144 jam.

Manakala, Changsha, Harbin dan Guilin yang masing-masing terletak di Hunan, Heilongjiang dan Guangxi pula melaksanakan dasar 72 jam.

"Kami menggalakkan agensi pelancongan dari dalam dan luar negara untuk membantu lebih ramai pelawat asing datang ke China di bawah dasar ini."

“Menjelang penghujung Oktober, bilangan warga asing yang melawat China telah mencecah 26.51 juta, iaitu pertumbuhan yang mampan sejak China mengoptimumkan dasar COVID-19,” tambah Mao.

Untuk acara tahun ini, kementerian pelancongan dari lapan negara, termasuk Afrika Selatan, Thailand, Vietnam dan Malaysia, serta institusi dan agensi pelancongan dari dalam dan luar negara mengambil bahagian.

Shalva Khutsishvili, pengurus agensi pelancongan Georgia Caucasus Voyagers yang menyertai acara tersebut untuk kali keempat berkata bahawa ejennya telah membawa lebih ramai pelancong China ke Georgia.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya turut merancang untuk membawa lebih ramai rakyat Georgia ke China pada masa hadapan.

"Apabila orang meneroka elemen keindahan alam semula jadi dan makanan, ini membantu menyatukan dua negara. Saya fikir pelancongan adalah cara utama untuk menyatukan orang ramai, terutamanya apabila kita dapat mengembara semula selepas wabak," kata Khutsishvili.

Video

Berita Berkaitan