Masa depan hubungan China-AS bergantung pada rakyat

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 23 November 2023

Tarikh 15 November 2023, bandar San Francisco menjadi tuan rumah kepada dua acara penting.

Pada sebelah siang, Presiden China Xi Jinping bertemu dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Joe Biden. Presiden Xi telah mengetengahkan saranan lima perkara berkaitan hubungan antara kedua-dua negara, menawarkan satu perspektif baharu mengenai hal tersebut.

Pada sebelah malam, Presiden Xi menghadiri jamuan alu-aluan anjuran bersama pelbagai persatuan persahabatan di AS. Dalam ucapan yang disampaikan, beliau memberikan bimbingan berhubung perkembangan persahabatan dua negara.

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan cabaran dan pancaroba, hubungan antara China dan AS, masing-masing negara membangun dan negara maju terbesar di dunia, amat penting bagi masa depan umat manusia.

Sinar harapan dalam hubungan itu letaknya pada rakyat, sedangkan asasnya bertapak dalam masyarakat.

158 tahun lalu, ramai pekerja China berhijrah ke AS untuk membina landasan kereta api rentas benua yang pertama. 87 tahun lalu, jurnalis AS Edgar Snow mempertaruhkan nyawanya untuk melaporkan perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun di utara provinsi Shaanxi, melantangkan gema “suara tentangan” yang tidak dapat dialahkan ke setiap pelosok dunia.

78 tahun lalu, China dan AS antara negara yang memulakan Persidangan San Fransisco, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pada Perang Dunia II, perikatan negara berjuang bahu-membahu demi keamanan dan keadilan. General Claire Lee Chennault dari AS mengetuai skuad Flying Tiger dalam pertempuran menentang penceroboh Jepun di China. Pada masa yang sama, askar dan rakyat China telah menyelamatkan Leftenan Kolonel James Doolittle dan pasukan juruterbangnya. Titik ini dalam sejarah, yang diikat dengan titisan darah dan api membara, menekankan bahawa ikatan sesama rakyatlah yang menjadi asas kepada hubungan China-AS.

Kepentingan bersama dua negara ini melebihi perbezaan yang wujud.

Pada musim bunga 1971, semasa berlangsungnya satu pertandingan pingpong di Jepun, pemain AS Glenn Cowan kebetulan menaiki bas yang sama dengan pasukan China. Pemain China Zhuang Zedong menghadiahi Cowan sebuah lukisan saring sutera (silk-screen) Gunung Huangshan, sementara Cowan membalas dengan menghadiahkan pakaian sukan dari negaranya.

Pertemuan ini diikuti pula dengan kunjungan delegasi pasukan pingpong AS ke Beijing serta lawatan Rombongan Akrobatik Shenyang ke AS. Tidak lama kemudian, Orkestra Philadephila membuat lawatan pertama ke China. Peristiwa-peristiwa ini menandakan permulaan kepada satu runtunan pertukaran muhibah antara China dan AS, sekali gus menekankan peri pentingnya rakyat dalam membuka pintu kepada jalinan bilateral.

“Saya yakin, setelah dibuka, pintu kepada hubungan China-AS tidak dapat ditutup semula,” ujar Presiden Xi pada jamuan alu-aluan tersebut. Ucapan beliau mengundang tepukan gemuruh sebanyak hampir 20 kali.

Pada awal abad ke-20, Profesor Milton Gardner dari AS telah menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Kuliang, sebuah pekan di provinsi Fujian, tenggara China. Untuk sekian lama, beliau menyimpan hasrat untuk kembali ke tempat yang dianggap kampung halamannya itu. Pada 1992, Xi yang ketika itu bekerja di Fujian, menjemput Puan Gardner datang berkunjung ke Kuliang. Di sana, Puan Gardner dengan sukacita mengenang-ngenangkan masa lampau bersama sahabat-sahabat lama suaminya.

Pada zaman Perang Dunia II, General Joseph Stilwell telah berjuang bersama-sama askar dan rakyat China. Baru-baru ini, bandar Chongqing di barat daya China menganjurkan siri acara peringatan sempena ulang tahun ke-140 kelahiran General Stilwell yang dihadiri sendiri oleh anak cucu beliau. Dalam surat balas kepada cucu General Stilwell, Presiden Xi menzahirkan rasa gembira melihat dedikasi panglima perang itu terhadap persahabatan China-AS telah diwarisi sehingga lima generasi keluarganya.

Dalam ucapan yang disampaikan di San Francisco, Presiden Xi turut mengenang kembali lawatan pertama beliau ke AS, dilayan oleh keluarga Dvorchak yang menjadi tuan rumah di Iowa.

Ujarnya, “Bagi saya, merekalah wajah Amerika. Saya dapati walaupun kedua-dua negara kita berbeza dari segi sejarah, budaya dan sistem sosial, dan telah menempuh jalan pembangunan yang berlainan, rakyat sama sahaja baik hati, ramah, kuat bekerja dan rendah hati. Rakyat kita masing-masing mencintai negara, keluarga dan cara hidup sendiri, ramah antara satu sama lain, dan saling mengambil berat.”

Kini, China dan AS telah menjalin sebanyak 284 ikatan negeri dan bandar sahabat. Kira-kira 300 penerbangan beroperasi antara kedua-dua negara setiap minggu, dengan lebih daripada 5 juta pelancong atau pelawat bergerak dalam setahun. Awal bulan ini, Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-6 telah mengehoskan delegasi perniagaan yang terbesar dari AS setakat ini.

Dalam mesyuarat di San Francisco, dua presiden telah mencapai persetujuan mengenai beberapa perkara penting. Ini termasuk menambah bilangan penerbangan terus serta meluaskan pertukaran dua hala melibatkan pendidikan, pelajar asing, belia, budaya, sukan dan perniagaan.

Asas bagi mana-mana usaha yang signifikan bergantung pada rakyat. Masa depan hubungan China-AS akan dibentuk bersama oleh rakyat kedua-dua negara.

Biar apa jua perubahan yang berlaku pada dunia, keinginan untuk menyuburkan pertukaran dan kerjasama kekal malar dalam sanubari rakyat China dan AS. Hubungan antara kedua-dua negara bergantung pada rakyat.

Persaingan antara negara-negara besar bukanlah jalan keluar yang dapat merungkai isu-isu yang dihadapi China, AS, atau dunia sekalipun. Untuk mengendalikan hubungan China-AS, beberapa prinsip wajar dijadikan bimbingan iaitu hormat-menghormati, hidup bersama secara aman tenteram, serta kerjasama yang saling menguntungkan.

Video

Berita Berkaitan