Kerjasama Teknikal China-Asia Tenggara Liputi Latihan Vokasional

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 05 Disember 2023
Kerjasama Teknikal China-Asia Tenggara Liputi Latihan Vokasional
Seorang pelajar Thailand (dua dari kiri) membincangkan penggunaan jentera perlombongan dengan rakan-rakan di Syarikat Guangxi Liugong Machinery di Liuzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, selatan China, 26 Oktober 2023. (Xinhua/Lin Shuting)

Dengan menggunakan video pengajaran sebagai medium, beberapa kumpulan pelajar Indonesia bekerjasama untuk memasang penukar tork, yang merupakan sebahagian daripada kerja kursus masing-masing di sebuah sekolah vokasional di bandar Liuzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, selatan China.

Para pelajar tersebut mula belajar ilmu mekanik di Kolej Vokasional & Teknikal Liuzhou pada September dan akan melanjutkan latihan di Syarikat Guangxi Liugong Machinery. Masing-masing dilihat teruja terhadap prospek peluang pekerjaan dalam anak syarikat Liugong di Indonesia selepas tamat pengajian.

Pada tahun-tahun mutakhir ini, kerjasama perindustrian antara China dan Asia Tenggara giat berkembang. Kemajuan demi kemajuan dalam penyelidikan dan teknologi China dilihat berjaya meningkatkan permintaan untuk kumpulan profesional multinasional yang pelbagai, termasuk sejumlah besar individu dari Asia Tenggara bagi mendapatkan latihan teknikal yang berpadanan dengan piawaian global.

Sinergi ini telah mewujudkan senario yang saling menguntungkan, sekali gus memecahkan tembok perbezaan bangsa, budaya dan bahasa.

Pada 2022, Syarikat Guangxi Liugong Machinery dan Kolej Vokasional & Teknikal Liuzhou mula bekerjasama dengan beberapa institut luar negara untuk melatih bakat teknikal dalam jentera kejuruteraan.

Difahamkan, kerjasama tersebut bukan sahaja menangani permintaan bakat luar negara yang mahir dalam kalangan perusahaan, malah turut membuka peluang pekerjaan untuk golongan belia di negara-negara ASEAN.

Misalnya, projek kerjasama kolej-perusahaan di Thailand telah berjaya melatih lebih 20 profesional berkemahiran tinggi, dengan tujuh daripada mereka telah menamatkan latihan di Liugong dan akan bekerja di anak syarikatnya di luar negara.

Untuk rekod, lebih 70 peratus kakitangan yang kini bekerja di anak syarikat Liugong di luar negara adalah pekerja tempatan.

"Latihan kami meliputi semua yang berkaitan dengan peralatan kami, termasuk daripada penyelenggaraan hingga operasi, dan semua teori yang diperlukan dihuraikan dengan jelas," kata Peng Zhifeng, pakar latihan teknikal di Liugong.

Menurut pemerhatiannya, beliau mendapati para pelajarnya yang berada di luar negara mempunyai keinginan yang kuat untuk belajar.

“Ramai pekerja, yang tidak pernah menerima pendidikan teori walaupun bekerja dalam pembaikan kereta selama bertahun-tahun menyatakan bahawa mereka sangat terharu selepas menyertai latihan itu,” jelas Peng.

Beliau menekankan kesejagatan kemahiran yang dipelajari oleh pelatih, yang bermakna peluang pekerjaan para pelajar tidak terhad di Liugong sahaja, dan mereka boleh menyumbang kepakaran masing-masing untuk syarikat lain.

Timbalan Ketua Setiausaha Suruhanjaya Pendidikan Vokasional Kementerian Pendidikan Thailand, Somporn Pandam berkata, pendidikan vokasional amat penting terhadap pembangunan negara.

Beliau turut positif bahawa profesionalisme, pengalaman kepimpinan dan pendekatan berfikiran ke hadapan dalam pendidikan vokasional China, kesemuanya akan menawarkan pelajar Thai kemahiran bahasa yang berharga serta masa depan kerjaya.

“Kerjasama antara institusi pendidikan vokasional dan perusahaan akan menjadikan pendidikan vokasional Thailand lebih mudah disesuaikan dengan permintaan pasaran global, membantu Thailand memupuk lebih ramai bakat cemerlang, selain meningkatkan daya saing pekerjaan dan gaji golongan muda Thailand,” kata Somporn.

Video

Berita Berkaitan