Perjalanan Yiwu Ke Arah Hab E-dagang Rentas Sempadan Terkemuka Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 17 Januari 2024

Xu Yan, Presiden Persatuan E-dagang Rentas Sempadan Yiwu boleh dikatakan sering menyambut pelawat asing ke bandar yang terletak di provinsi Zhejiang itu, di samping menjalankan perniagaan e-dagang rentas sempadan miliknya sendiri.

Difahamkan, para tetamu tertarik untuk ke Yiwu berikutan suasana industri e-dagang rentas sempadannya yang rancak.

Baru-baru ini, delegasi dari Korea Selatan melawat Yiwu untuk memahami lebih lanjut tentang pembangunan e-dagang rentas sempadan.

Seorang wakil delegasi secara terbuka menyatakan minat mereka untuk mengetahui tentang suasana pengoperasian di situ sambil memaklumkan mereka berminat mengeksport produk Korea Selatan secara global melalui saluran tersebut.

Jelas individu berkenaan, pihaknya mahu menimba pengalaman daripada Yiwu memandangkan skopnya yang terhad di Korea Selatan.

"Kami mengalu-alukan delegasi dari Asia Tenggara, Rusia dan Amerika Selatan, semuanya datang untuk mengkaji dan memerhati aktiviti kami.

“Kumpulan terbesar ialah sekitar 150 orang dari Asia Tenggara," kata Xu sambil menambah bahawa Yiwu telah menganjurkan lebih 400 aktiviti latihan e-dagang rentas sempadan pada 2023.

Minat yang ditonjolkan delegasi antarabangsa tersebut secara tidak langsung mencerminkan pengaruh global Yiwu.

Dikenali sebagai pasaran borong komoditi kecil terbesar di dunia, bandar di timur China ini menempatkan lebih 2.1 juta jenis komoditi dan mengendalikan perdagangan dengan 233 negara dan wilayah.

Memetik data yang dikeluarkan kastam China, jumlah import dan eksport Yiwu melebihi RMB560 bilion (sekitar USD78.8 bilion) pada 2023, meningkat lebih 15 peratus, dengan peningkatan ketara dalam e-dagang rentas sempadan.

Pada 2023, Yiwu merekodkan jumlah urus niaga e-dagang rentas sempadan sebanyak RMB121.16 bilion, memperlihatkan peningkatan 11.8 peratus daripada tahun sebelumnya dan menunjukkan pertumbuhan dua angka yang pesat.

Selaras dengan pertumbuhan itu, bilangan entiti e-dagang baharu juga meningkat kepada 175,700, iaitu melonjak secara tahun ke tahun sebanyak 48.33 peratus. Daripada kira-kira 600,000 entiti e-dagang, lebih satu pertiga menjalankan perniagaan rentas sempadan.

Bandar ini menunjukkan perkembangan pantas e-dagang rentas sempadan di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Data daripada Pentadbiran Am Kastam menunjukkan bahawa pada 2023, eksport e-dagang rentas sempadan China mencapai RMB2.38 trilion, mencatatkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus.

Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun lalu, e-dagang rentas sempadan China telah berkembang hampir sepuluh kali ganda.

Inovasi dan sokongan dasar

Pada 2018, Yiwu menjadi bandar pertama peringkat kaunti yang termasuk dalam kumpulan ketiga zon perintis e-dagang rentas sempadan komprehensif China. Didorong oleh inovasi, bandar ini terus membangunkan sektor e-dagang rentas sempadan. Persekitaran pertumbuhan dan inovasi ini telah melahirkan syarikat yang berjaya seperti RockBros.

RockBros, sebuah syarikat e-dagang rentas sempadan berpangkalan di Yiwu yang memfokuskan kepada peralatan dan aksesori berbasikal itu telah mengeluarkan lebih sedozen produk baharu setiap bulan.

Menurut pengasasnya, Zhang Xingang, daya saing produk adalah penting untuk kejayaan syarikat. Untuk mengekalkan kelebihan ini, beliau mengadakan mesyuarat strategi dengan pereka setiap hari Isnin, memfokuskan pada pembangunan produk baharu.

"Dalam belanjawan lebih RMB10 juta, kami biasanya memperuntukkan kira-kira 6 hingga 7 juta yuan khusus untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi produk. Bagi kami, inovasi produk adalah keutamaan," tambah beliau.

Pada tahun 2010, Zhang dan rakan kongsinya memulakan usaha dalam e-dagang rentas sempadan, bermula di rumah tiga bilik yang disewa. Sepanjang dekad yang lalu, ruang pejabat mereka telah berkembang daripada 130 meter persegi pada awalnya kepada lebih 6,000 meter persegi di kompleks pejabat. Mereka telah melancarkan lebih 2,000 produk, serta meraih lebih RMB1 bilion bagi jualan tahunan.

Memandangkan perniagaan semakin mendorong sempadan inovasi, dasar untuk menyesuaikan diri dan menyediakan sokongan yang teguh juga disifatkan sebagai penting.

Menyedari perkara ini, Yiwu mengambil langkah berfikiran ke hadapan pada 2019 dengan menyepadukan pelbagai unit berkaitan pasaran untuk membentuk Jawatankuasa Pembangunan Pasaran, sebuah badan khusus yang berdedikasi untuk memupuk pertumbuhan dalam pasaran, e-dagang dan sektor ekonomi lain.

Baru-baru ini, jawatankuasa itu memperkenalkan langkah untuk menyokong syarikat dalam membangunkan pasaran melalui jenama masing-masing, membantu pembinaan infrastruktur di taman perindustrian e-dagang rentas sempadan, melabur dalam latihan bakat e-dagang rentas sempadan, dan memupuk ekosistem yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan.

Rangkaian logistik

Rangkaian logistik yang mantap meletakkan asas bagi pertumbuhan pesat e-dagang rentas sempadan. Yiwu menawarkan suite komprehensif perkhidmatan logistik yang cekap untuk eksport, termasuk laut, darat, udara, rel dan mel.

Perkhidmatan kereta api Yiwu-Xinjiang-Europe (YXE) telah mewujudkan laluan antarabangsa terus dari titik ke titik dalam 19 arah, menghubungkan lebih 50 negara Eurasia dan lebih 160 bandar.

Pada masa sama, bandar tersebut juga telah mewujudkan 210 gudang luar negara di lebih 100 bandar di 50 negara, dan telah memberikan jaminan terhadap liputan penuh bandar nod perdagangan utama di seluruh dunia.

"Kami bekerjasama dengan lebih 100 pembekal dari seluruh negara, menerima penghantaran setiap hari. Matlamat kami adalah untuk menghantar barangan ini dengan cepat dan menjimatkan.

“Kepantasan logistik yang dipertingkatkan adalah kunci untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penggunaan modal kami. Yiwu, dengan kekuatan logistiknya, sangat sesuai untuk keperluan perniagaan kami," kata Zhang.

Menjadi hab kepada 1,829 syarikat logistik domestik, Yiwu mempunyai lebih 2,000 laluan lebuh raya khusus, dan meliputi semua bandar di peringkat daerah atau ke atas di seluruh negara. Kebanyakan kawasan tersebut juga boleh memudahkan logistik dua hala terus dengan Yiwu.

"Logistik mungkin bukan sektor untung tinggi secara langsung, tetapi peranannya dalam menyokong industri lain adalah penting," kata Bei Xudong, timbalan pengarah Jawatankuasa Pembangunan Pasaran Yiwu.

"Oleh itu, kami mengutamakan pembangunan sektor logistik moden Yiwu. Kami melihatnya sebagai kawasan strategik utama, penting bagi pertumbuhan ekonomi kami yang lebih luas, dan nekad untuk memupuk dan membangunkannya," tambahnya.

Video

Berita Berkaitan