Bateri Buatan China Jadi Buruan di Pasaran Global

(CRI)Isnin 29 Januari 2024

Tiada alternatif baik yang boleh menggantikan 'buatan China', memetik laporan media Korea Selatan mengenai dilema didepani syarikat pengeluar automobil negara itu.

Syarikat pengeluar kenderaan di Korea Selatan yang amat bergantung kepada bahan bateri buatan China kini mengalami kesulitan susulan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terus memperketat kawalan eksport terhadap China.

Sehubungan itu, syarikat terbabit merayu supaya kerajaan AS melonggarkan sekatan berkenaan dan membenarkan mereka membeli bahan bateri utama dari China.

Bagi syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) di AS sendiri, Tesla juga menghadapi masalah sama apabila pengeluaran besar-besaran bateri untuk kegunaan Cybertruck terbantut.

Syarikat itu turut meminta bantuan daripada pengeluar China untuk mendapatkan sokongan komponen bateri.

Menurut data terkini Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, eksport bateri kuasa buatan China mencapai 127.4 gigawatt-jam pada 2023, naik 87.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan Eropah menjadi pasaran terbesar diikuti AS dan Asia Tenggara.

Ia sekali gus menyaksikan skala pasarannya antara yang terdepan di dunia selama tujuh tahun berturut-turut.

Pembangunan industri bateri kuasa China turut membantu menggerakkan transformasi hijau dan rendah karbon bagi industri automobil global.

Cubaan segelintir politikus AS mengecualikan bateri China daripada rantaian bekalan EV memang tidak wajar.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan AS mendirikan 'tembok tinggi' untuk menyekat pembangunan industri baru muncul di China.

Kelakuan seumpama memperlihatkan hegemoni AS yang bertentangan dengan peraturan perdagangan dunia.

Negara itu menindas China dengan dalih 'keselamatan negara' dan berniat mencantas hubungan.

Cubaan seumpama hanyalah sia-sia kerana negara Tembok Besar memiliki kelebihan teknologi yang unik dalam industri bateri.

China kekal sebagai pasaran yang tidak boleh dilepaskan pelabur asing, sekali gus merupakan penggerak kuat untuk pertumbuhan ekonomi sejagat.

Video

Berita Berkaitan