Pelancongan Tema Angkasa Lepas di Gurun Gobi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 31 Januari 2024
Pelancongan Tema Angkasa Lepas di Gurun Gobi
Pangkalan Marikh 1, habitat Marikh yang disimulasikan berlokasi di bandar Jinchang, provinsi Gansu. (Xinhua/Li Ting)

Terletak di bahagian barat laut China, Gurun Gobi yang terpencil dan luas kini semakin mudah diakses oleh orang ramai susulan kehadiran pelancongan bertemakan angkasa lepas, sekali gus membuka sempadan baharu kepada pelancong yang suka menempuh cabaran.

Hamparan berbatu itu telah dihiasi dengan beberapa struktur berbentuk kapsul putih, dikelilingi oleh panel solar yang berkilauan dan "kawah" unik dalam pelbagai saiz.

Ini ialah Pangkalan Marikh 1, habitat Marikh yang disimulasikan berlokasi di bandar Jinchang, provinsi Gansu, iaitu salah satu kawasan penting di China bagi nikel, sejenis logam putih perak keras yang digunakan secara meluas dalam teknologi aeroangkasa.

Serupa dengan permukaan Marikh, landskap padang pasir yang terhakis ini pernah menjadi tempat penyelidikan bagi saintis China untuk menilai pelbagai robot penerokaan angkasa lepas, termasuk perayau bulan, prob Marikh dan kapal angkasa berawak.

Kini, ia turut menjadi popular dalam kalangan pelancong. Penglibatan dan minat rakyat China terhadap aktiviti kebudayaan berkaitan angkasa semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Situasi itu merupakan susulan daripada beberapa siri pencapaian angkasa lepas. Selepas pelancaran siasatan Marikh Tianwen-1 pada 2020, pangkalan simulasi Marikh yang serupa turut dibina di seluruh wilayah barat laut. Secara tidak langsung, ia membolehkan pelawat, terutamanya kanak-kanak yang bersekolah untuk mengalami kehidupan di planet merah.

Para peserta direncanakan untuk mendaki melalui kawasan padang pasir, mencari sumber air, dan secara olok-olok menjadi taikonaut yang menghadapi cabaran yang mengancam nyawa. Turut disediakan kepada pengunjung belia adalah kursus sains berkaitan Marikh.

Pada awal Disember, Yang Xialong, pemandu pelancong berusia 26 tahun bersama rakan-rakannya membawa sekumpulan 300 pelajar dalam lawatan yang tidak dapat dilupakan ke kawasan sekitar 500 kilometer dari pangkalan Marikh. Destinasi mereka ialah Bandar Angkasa Dongfeng City, juga dikenali sebagai Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan.

Satu-satunya tapak negara untuk pelancaran kapal angkasa berawak, Pusat Jiuquan telah disenaraikan sebagai salah satu destinasi pelancongan bertemakan angkasa lepas yang terbaik di dunia oleh Lonely Planet. Kemudahan seperti muzium aeroangkasa, menara pelancaran dan kompaun pangsapuri taikonaut simulasi adalah antara kawasan hangat yang disyorkan oleh pemandu pelancong.

Musim pelancongan bandar angkasa itu berlangsung dari Julai hingga Oktober setiap tahun. Selain kumpulan pelajar, sesetengah pelancong individu menempah lawatan satu atau dua hari lebih awal melalui agensi pelancongan tempatan.

Menurut Yang, aktiviti menonton pelancaran roket secara langsung tidak lagi eksklusif untuk individu muda, tetapi dapat diakses oleh semua peringkat umur.

Di kawasan pedalaman Gurun Tengger, padang pasir keempat terbesar di China, pelancong berkumpul di sekeliling teleskop untuk mengagumi keindahan langit berbintang yang menakjubkan.

Destinasi melihat bintang yang luar biasa di daerah Minqin di Gansu ini telah diubah menjadi sebuah bandar bertemakan padang pasir yang didedikasikan untuk penyelidikan dan pemerhatian saintifik, serta mempromosikan sains astronomi dan pelancongan yang berkaitan. Ia telah digelar "Bandar Memilih Bintang."

Sejak penubuhannya pada 2020, bandar ini telah menjana lebih daripada RMB10 juta yuan (kira-kira USD1.39 juta) dalam hasil pelancongan, lantas menunjukkan potensi pertumbuhan besar industri "angkasa + pelancongan".

Projek sedemikian telah mendapat pengiktirafan daripada pakar industri.

Liu Yufei, individu yang terlibat dalam industri angkasa komersial berkata bahawa persepsi konvensional terhadap pelancongan bertemakan angkasa lepas terhad kepada model roket dan mainan, menghalang keupayaan untuk memupuk pangkalan pelanggan yang konsisten, justeru menghalang potensi pasaran besar pelancongan budaya aeroangkasa.

Tekan beliau, meskipun lebih daripada 600 angkasawan telah dilancarkan ke angkasa, aspirasi untuk penerokaan angkasa lepas dikongsi oleh populasi global seramai 8 bilion orang.

Pangkalan Marikh 1, habitat Marikh yang disimulasikan berlokasi di bandar Jinchang, provinsi Gansu. (Xinhua/Jia Zhao)

Video

Berita Berkaitan