Sayang, Sayang, Si Kaki Empat

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 07 Februari 2024

Salah satu poster Meowzart untuk pertandingan “Alumni Meow Terbaik” tahun ini, memaparkan gambar bentuk kartun kucing yang dicalonkan oleh pelbagai universiti. (Meowzart/untuk China Daily)

Satu pertandingan kucing yang cukup unik sedang berlangsung ketika ini, yang menyaksikan penyertaan kucing terbiar dari lebih 280 universiti di serata China. Dari 21 Januari hingga 21 Februari, para peserta berkaki empat bertanding merebut gelaran “Alumni Meow Terbaik”.

Ini merupakan tahun ketiga sejak kali pertama acara tersebut diadakan, dan dianjurkan untuk golongan mahasiswa oleh Meowzart, salah satu platform kebajikan haiwan terbesar di China. Dengan menggunakan sebuah program mini di wadah media sosial WeChat, orang ramai dapat melihat profil kucing yang dicalonkan oleh setiap universiti. Profil yang disediakan itu mengandungi gambar dan maklumat terperinci mengenai si comel, misalnya usia, baka, personaliti, malah “detik-detik menarik di media sosial”.

Pada laman program mini Meowzart, terdapat profil bagi 18,312 kucing dari lebih 340 komuniti kebajikan kucing di universiti.

Kini semakin menjadi tumpuan mata masyarakat, perhatian yang diberikan terhadap selebriti kucing baru ini diharap dapat meningkatkan kebarangkalian haiwan terbabit akan bertemu dengan tuan baharu. Hasil daripada penjualan barangan yang memaparkan imej-imej kucing yang comel juga akan membantu menyokong operasi persatuan kebajikan kucing terbiar di universiti.

Di merata-rata China, orang muda aktif terlibat dengan cara tersendiri dalam usaha menyelamatkan kucing terbiar dan memberikan tempat tinggal kepada haiwan-haiwan ini. Hampir setiap universiti mempunyai persatuan mahasiswa yang melindungi kucing-kucing terbiar di kampus. Persatuan seumpama bukan sahaja menyediakan makanan untuk kucing, tetapi juga membantu dalam kerja-kerja memandulkan serta mencari tuan baharu.

Kiri, atas: Meng Fan bergambar dengan anjingnya. Kiri, bawah: Tang Tianle bertugas sebagai sukarelawan pada satu aktiviti adopsi haiwan terbiar. (foto/China Daily)

Kiri, atas: Meng Fan bergambar dengan anjingnya. Kiri, bawah: Tang Tianle bertugas sebagai sukarelawan pada satu aktiviti adopsi haiwan terbiar. (foto/China Daily)

Meng Yan, pengasas Meowzart, menekankan bahawa komuniti pelajar memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menyelamatkan kucing-kucing terbiar. Namun begitu, orang muda ini juga berdepan bermacam-macam cabaran.

Sebagai pelajar, mereka sering bergelut dengan masalah kewangan dan tidak mempunyai cara untuk menampung aktiviti persatuan selain daripada memungut derma. Pengalaman dan sumber yang terhad juga meletakkan para pejuang nasib kucing ini di kedudukan yang lebih lemah apabila berurusan dengan pihak universiti, apatah lagi ketika menangani kes-kes penganiayaan kucing yang serius. Malahan, sesetengah pelajar disalah tanggap mengabaikan pelajaran mereka.

Meng berharap, platformnya dapat menyatukan orang muda yang prihatin akan nasib kucing dan membolehkan mereka bersuara dengan lebih lantang.

Platform itu kini menyediakan panduan buat mahasiswa di samping mengendalikan sebuah program mini yang membolehkan komuniti pelajar berkongsi maklumat dengan mudah.

Video