TPM I Malaysia Puji Komitmen China Teroka Pembangunan Kawasan Luar Bandar

Oleh: Ahmad Syukri Azmi

Timbalan Perdana Menteri I Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diwawancara eksklusif oleh People's Daily Online sempena ulang tahun ke-50 penjalinan hubungan diplomatik China-Malaysia di Beijing, 30 Mei 2024. (People's Daily Online/Wei Qingcheng)

Timbalan Perdana Menteri I Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diwawancara eksklusif oleh People's Daily Online sempena ulang tahun ke-50 penjalinan hubungan diplomatik China-Malaysia di Beijing, 30 Mei 2024. (People's Daily Online/Wei Qingcheng)

Timbalan Perdana Menteri I Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan pujian terhadap komitmen kerajaan China untuk menerokai pembangunan di wilayah tengah China, dengan menyifatkan ia sebagai bijaksana.

Beliau berkata, usaha pembangunan terhadap kawasan yang dianggap sebagai kurang maju berbanding dengan bandar-bandar peringkat pertama (first-tier) adalah satu iltizam untuk memajukan kawasan luar bandar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut berkongsi pengamatannya terhadap laporan Presiden Xi Jinping yang mempengerusikan mesyuarat pembangunan kawasan tengah China, dan menyatakan bahawa beliau tertarik dengan usaha untuk mengimbangkan kawasan kurang maju, dengan kawasan yang maju.

Jelas beliau, usaha itu dapat mengurangkan migrasi orang kampung ke bandar yang akan menimbulkan pelbagai kesukaran, dan sebaliknya membuka peluang pekerjaan di luar bandar, sekali gus memberi peluang untuk orang bandar berkhidmat di kampung halaman serta membantu keluarga dan masyarakat luar bandar.

Menyentuh mengenai kawasan tengah China, Ahmad Zahid antara lainnya turut menekankan usaha China terhadap pembasmian kemiskinan, pewujudan peluang pekerjaan dan industri baharu serta pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara eksklusif oleh People’s Daily Online dalam rangka lawatannya di Beijing sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik China-Malaysia, baru-baru ini.

Lima Dekad Penjalinan Hubungan Diplomatik China-Malaysia

Menyingkap mengenai lima dekad penjalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara, Ahmad Zahid menghargai visi terkedepan oleh para pemimpin terdahulu dari China dan Malaysia yang berjiwa besar.

Menurut beliau, hasil daripada usaha tersebut, Malaysia kini beroleh manfaat sebagai rakan kongsi dagang kepada negara gergasi ekonomi kedua di dunia itu, dan memandang ia sebagai satu pencapaian sangat baik Malaysia.

“Mereka merupakan pemimpin-pemimpin futuristik yang melihat bahawa China dan Malaysia harus menjalin hubungan yang rapat bukan sahaja dalam bidang diplomatik, tetapi juga dalam bidang perdagangan, pendidikan, dan teknologi.

“Kita lihat selama 50 tahun ini bagaimana China dengan Malaysia, dan negara-negara ASEAN dapat menjalinkan hubungan yang sangat baik,” kongsi Ahmad Zahid.

Kecepatan China dalam Kejuruteraan Awam Wajar Dicontohi Malaysia

Beliau turut berpandangan bahawa China sangat komited dalam bidang infrastruktur dengan menjadikan projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit oleh syarikat China di Malaysia sebagai contoh.

Ujar Ahmad Zahid, teknologi dan kecepatan pembinaan oleh syarikat-syarikat China harus diteladani oleh kontraktor dalam bidang kejuruteraan awam di Malaysia.

“Umpanya, sebuah bangunan yang dibina oleh syarikat China boleh menyiapkan satu tingkat pada setiap tiga hari. Ini satu kecepatan yang sangat luar biasa.

“Begitu juga bidang-bidang lain seperti perkilangan, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan, (semua) pencapaian ini sungguh luar biasa dan kita berterima kasih kepada kerajaan China serta syarikat gergasi khususnya dari Fortune 500 yang menyumbang dan menempatkan semula pelaburan ke Malaysia,” katanya.

Pertukaran Pelajar Beri Kesan Jangka Panjang yang Mendalam

Ketika mengulas mengenai pertukaran pelajar kedua-dua negara, Ahmad Zahid berpendapat bahawa pertukaran belia menerusi persatuan belia harus dipertingkat, manakala penghantaran pelajar Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) dari Malaysia ke institut pengajian TVET China pula perlu diperbanyak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, ia bukan hanya untuk menimba ilmu teknologi dan ilmu baharu sahaja, tetapi juga akan membuatkan pelajar Malaysia menghargai sumbangan tanggungjawab sosial korporat terhadap institusi TVET di China yang memberikan peluang kepada mereka.

Ahmad Zahid berkata, pucuk pimpinan China dan Malaysia akan memperincikan lagi beberapa bidang yang harus diterokai oleh belia kedua-dua negara dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau telah menyuarakan penghargaan terhadap usaha kerajaan China yang menghantar pelajar China ke institusi pengajian awam di Malaysia, serta turut mengalu-alukan agar lebih ramai pelajar China dapat ditempatkan di Malaysia.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri I itu menamatkan lawatan rasminya ke China sejak 22 Mei lalu. Sepanjang tempoh itu, Ahmad Zahid telah melawat beberapa kawasan dan bandar termasuk Hong Kong, Shanghai dan Beijing.

Video

Berita Berkaitan