China Alu-alukan Lebih Ramai Pelancong

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 18 Julai 2024

China mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelancong luar, dan berharap mereka akan dapat merasai sendiri pengalaman ‘Pelancongan China’ yang unik.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luarnya pada Rabu dalam satu sidang media ketika mengulas soalan berhubung kenaikan jumlah pelancong luar yang melawat China.

Mutakhir ini, terdapat trend peningkatan pelancong di China dalam pasaran pelancongan antarabangsa, dengan bilangan penerbangan ke China serta jumlah carian dan tempahan hotel telah menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding tahun lepas.

Lin memberitahu bahawa beliau turut menonton beberapa klip video yang diambil oleh pelancong luar yang berkongsi mengenai pengalaman masing-masing di China termasuk berjalan-jalan di bandar, merasai keenakan makanan tempatan, menaiki bot dan menikmati persembahan adat resam rakyat yang dilihat menjadi trend bagi pelancong asing.

Jelasnya, kesemua video tersebut yang memaparkan pengalaman unik mereka di China seperti mempelajari tarian di dataran, menerokai makanan enak di pasar malam, bergambar bersama panda gergasi, dan menaiki teksi tanpa pemandu itu telah berjaya menarik perhatian jutaan penonton.

“China telah mengeluarkan dasar bebas visa selama 15 hari untuk 15 negara termasuk Perancis untuk tempoh percubaan, dan telah meluaskan dasar transis bebas visa 144 jam kepada 37 pelabuhan masuk,” ujar Lin.

Tambah beliau, China kini membenarkan kemasukan secara bebas visa buat semua kumpulan pelancong luar yang menaiki kapal persiaran, selain turut menambah baik beberapa kemudahan seperti pembayaran mudah alih dan pembelian tiket di kawasan pemandangan.

Menurut Lin, kesemua langkah itu akan memudahkan warga asing yang melancong, bekerja dan menetap di China, selain membolehkan merasai daya tarikan China ketika mengikuti trend baharu ‘Pelancongan China’.

“Kami mengalu-alukan lebih ramai rakan-rakan dari luar negara untuk mengalami pengalaman melawat bandar-bandar di China dan kawasan pemandangan yang lebih terbuka dan indah, serta berkongsikannya dengan seluruh dunia,” ujar jurucakap itu.

Video

Berita Berkaitan