Sultan Ibrahim Sifatkan Lawatan ke China Sebagai Satu Kejayaan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 23 September 2024

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim menyifatkan lawatannya ke China telah memperkukuh lagi persahabatan serta hubungan dua hala kedua-dua negara.

Memetik kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada Ahad, Sultan Ibrahim berkata bahawa banyak perkara telah dibincangkan serta turut diterima baik oleh pemimpin-pemimpin China.

"Hubungan baik antara Malaysia dan China berasaskan kepercayaan serta penghormatan yang membolehkan kerjasama erat dalam hampir semua sektor.

"Saya berharap kerajaan akan meneliti hasil lawatan ini dan mengambil langkah sewajarnya dalam bidang yang dibincangkan antaranya pendidikan, perdagangan, pelaburan serta pengangkutan dan kesalinghubungan," petik kenyataan Sultan Ibrahim lagi.

Sultan Ibrahim turut menyatakan bahawa kebangkitan China di persada antarabangsa dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini cukup menakjubkan.

Bersempena jubli emas perhubungan Malaysia-China, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhubungan kedua-dua negara terus subur dan erat demi manfaat bersama.

"Ulang tahun ke-50 perhubungan diplomatik bukan sahaja satu sorotan untuk diraikan, tetapi juga ruang untuk memperkukuhkan kerjasama ke arah masa depan yang lebih baik," ujar Sultan Ibrahim.

Video

Berita Berkaitan