- Lain-lain
Naga Jed Terbesar dari Budaya Hongshan Ditemukan di Utara China
Foto fail tanpa tarikh ini memaparkan pemandangan tapak makam batu di bandar Chifeng, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, utara China. (Foto/Xinhua)
Ahli arkeologi China berjaya menemukan naga jed terbesar dari budaya Hongshan yang merupakan sebahagian penting daripada Zaman Neolitik, lapor agensi berita Xinhua.
Difahamkan, artifak tersebut telah ditemukan di tapak makam di bandar Chifeng, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, utara China oleh institut arkeologi dan relik kebudayaan tempatan.
Menurut laporan, artifak yang berukuran 15.8 sentimeter panjang, 9.5 sentimeter lebar dan 3 sentimeter tebal itu ditemukan di tapak yang menampilkan makam bulat di bahagian utara dan satu mazbah persegi di selatan, iaitu satu-satunya seumpamanya yang pernah ditemui di rantau ini.
Selain daripada tinggalan seni bina, beberapa tinggalan lain seperti rangka manusia, pengebumian, lubang api, dan lubang objek silinder turut berjaya ditemukan. Artifak yang digali termasuk jed dan besen tembikar dicat serta cawan tembikar tripod.
Untuk rekod, penyelidikan yang sedang diteruskan itu turut merangkumi penyelidikan suasana purba, pemetaan topografi berskala besar, pentarikhan karbon-14, dengan data terkini menunjukkan bahawa tapak itu dimiliki oleh budaya Hongshan yang berusia sekitar 5,100 ke 5000 tahun dahulu.
Penemuan itu telah diperkenalkan pada seminar bertema yang diadakan di Chifeng pada Ahad, yang memberikan maklumat terkini tentang perkembangan arkeologi di makam batu di Yuanbaoshan, Aohan Banner Chifeng.