Airshow China Saksi Pemeteraian Perjanjian Bernilai AS$39.7 Bilion

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 18 November 2024
Airshow China Saksi Pemeteraian Perjanjian Bernilai AS$39.7 Bilion

Pameran Penerbangan Antarabangsa dan Aeroangkasa China atau Airshow China ke-15 yang melabuhkan tirainya pada Ahad di Zhuhai, provinsi Guandong dan menyaksikan perjanjian sebanyak RMB285.6 bilion (AS$39.7 bilion) telah berjaya ditandatangani.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, perjanjian tersebut melibatkan sebanyak 1,195 pesawat pelbagai model.

Menghurai lanjut mengenai Airshow China edisi ke-15 itu, pihak penganjur berkata bahawa sebanyak 1,022 syarikat daripada 47 negara dan wilayah telah menyertai acara selama enam hari tersebut, dengan sejumlah 261 pesawat dan 248 jenis peralatan darat telah dipamerkan.

Difahamkan, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 247 aktiviti telah dijalankan, termasuk persidangan, pemeteraian perjanjian dan rundingan perniagaan.

Untuk tahun ini, antara produk yang menyinar adalah termasuk jet pejuang selinap J-35A, jet pejuang J-15T dan sistem persenjataan peluru berpandu darat-ke-udara HQ-19. Pada masa sama, kargo yang menyimpan pesawat Y-20 dan misi sampel bulan Chang’e-6 turut dipamerkan buat tontonan awam.

Antara lain yang menarik adalah kenderaan udara tanpa pemandu dan pesawat tanpa pemandu, serta kereta terbang dan pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL).

Edisi Airshow China tahun 2024 turut menyaksikan kehadiran pengunjung seramai 590,000 orang, serta mendapat liputan oleh 4,500 wartawan daripada lebih 400 organisasi media dari dalam dan luar negara.

Video

Berita Berkaitan