Ekonomi Ais, Salji China Pamer Momentum Cemerlang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 19 November 2024

Manfaat sosial yang tinggi, kesan limpahan signifikan dan rantai perindustrian yang panjang disifatkan sebagai sinonim dengan ekonomi ais dan salji.

Dengan usaha mempromosi yang aktif di samping mempunyai kelebihan iklim, China berjaya menarik 300 juta rakyatnya terlibat dalam sukan musim sejuk, sekali gus menyaksikan transformasi pantas daripada ‘sumber sejuk’ kepada ‘kuasa panas’ dalam pembangunan ekonomi.

Peminat ski beraksi di peranginan ski Gunung Jiangjun di Altay, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, di barat laut China pada 9 Mac 2024. (People’s Daily Online/Ardak Beyishan)

Peminat ski beraksi di peranginan ski Gunung Jiangjun di Altay, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, di barat laut China pada 9 Mac 2024. (People’s Daily Online/Ardak Beyishan)

Mutakhir ini, kerajaan China mengeluarkan dasar untuk meransang ekonomi ais dan salji menerusi sukan musim sejuk yang berkualiti tinggi, dengan menjangkakan bahawa ekonomi tersebut mampu menjana sebanyak RMB1.2 trilion dan RMB1.5 trilion, masing-masing pada 2027 dan 2030.

Faktor kejayaan penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Beijing pada 2022 telah mendorong kepada pembangunan pesat khususnya terhadap pelancongan ais dan salji, pertunjukan dan pertandingan, latihan sukan, serta pembuatan peralatan ais dan salji.

Ia secara tidak langsung mempamerkan momentum cemerlang tentang ekonomi ais dan salji.

Pengarah Jabatan Ekonomi Sukan di Pentadbiran Am Sukan China, Yang Xuedong menyatakan bahawa sukan berperanan penting dalam mendorong pembangunan ekonomi, mempromosi penggunaan dan merangsang pelaburan.

Semasa Sukan Musim Sejuk Kebangsaan ke-14 di Hulun Buir, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam China baru-baru ini, bandar itu menerima kunjungan pelancong sekitar 1.7 juta orang, dengan pendapatan sebanyak RMB32 bilion dalam bidang sukan dan penggunaan yang lain.

Memetik data Akademi Pelancongan China, angka pelancong ais dan salji meningkat 38 peratus dari tahun ke tahun semasa musim sejuk yang lalu, dengan keuntungan meningkat sebanyak 50 peratus.

Foto bertarikh 31 Oktober 2024 ini menunjukkan produk rasmi Sukan Musim Sejuk Asia 2025 yang akan berlangsung di Harbin, provinsi Heilongjiang dijual di Muzium Kraf dan Seni Beijing. (People’s Daily Online/Quan Yajun)

Foto bertarikh 31 Oktober 2024 ini menunjukkan produk rasmi Sukan Musim Sejuk Asia 2025 yang akan berlangsung di Harbin, provinsi Heilongjiang dijual di Muzium Kraf dan Seni Beijing. (People’s Daily Online/Quan Yajun)

Pada musim sejuk yang lalu, ‘demam’ ais dan salji ‘menular’ di serata tempat di China. Letusan pelancongan di Harbin, provinsi Heilongjiang telah memberi dorongan signifikan terhadap industri katering tempatan, penginapan, hiburan dan beli-belah.

Untuk rekod, Harbin menerima lebih daripada 87 juta pengunjung, iaitu kenaikan 300 peratus dari tahun ke tahun, dengan pendapatan sebanyak RMB124.8 bilion, atau peningkatan sebanyak 500 peratus berbanding tahun terdahulu.

Manakala, jiran kepada provinsi Heilongjiang iaitu Jilin pula dilaporkan menerima kehadiran pelancong seramai 125 juta orang, menyaksikan peningkatan 121 peratus berbanding setahun yang lalu. Difahamkan, pendapatan pelancongan di situ meningkat 140 peratus dari tahun ke tahun kepada RMB241.9 bilion.

Turut menerima tempiasnya adalah Altay di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China yang menyambut kedatangan hampir 4.89 juta lawatan pelancong, atau peningkatan sebanyak 36 peratus tahun ke tahun, dan pendapatan pelancongannya mencecah RMB5.1 bilion, iaitu meningkat 45.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun terdahulu.

Selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Paralimpik Beijing 2022, sukan musim sejuk telah mendapat perhatian yang lebih meluas dan disertai oleh lebih ramai orang di seluruh China.

Peralatan ais dan salji adalah asas untuk pembangunan sukan musim sejuk dan juga merupakan komponen penting dalam ekonomi ais dan salji. Pada masa ini, China telah membangunkan sistem produk yang terdiri daripada 15 kategori utama peralatan ais dan salji, dengan industri berkembang pesat dan kualiti teknikal produk semakin bertambah baik.

Bilangan perusahaan dalam bidang ini telah berkembang daripada sekitar 300 pada 2015 kepada kira-kira 900 pada 2023, dan hasil jualan daripada kurang daripada RMB5 bilion kepada sekitar RMB22 bilion dalam tempoh yang sama.

Foto yang diambil pada 6 September 2024 menunjukkan Pusat Peranginan Tema Ski Tertutup L+SNOW Shanghai, kemudahan ski salji sebenar tertutup terbesar di dunia. (People’s Daily Online/Wang Chu)

Foto yang diambil pada 6 September 2024 menunjukkan Pusat Peranginan Tema Ski Tertutup L+SNOW Shanghai, kemudahan ski salji sebenar tertutup terbesar di dunia. (People’s Daily Online/Wang Chu)

Teknologi baharu yang diwakili oleh 5G, kecerdasan buatan dan realiti maya telah mewujudkan banyak produk dan model baharu, yang sekali gus meningkatkan pengalaman sukan secara keseluruhan.

Sebagai contoh, simulator ski menggunakan teknologi realiti maya untuk mencipta semula senario ski sebenar, membolehkan pengguna merasai pengalaman bermain ski tanpa meskipun hanya berada di dalam rumah. Bahagian lapik dalam ski pintar pula boleh mengumpul data seperti tekanan kaki, pecutan gerakan dan laluan ski.

Didorong oleh Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, pembinaan kemudahan ais dan salji di China telah mengekalkan pertumbuhan pesat.

Pada 2015, terdapat hanya lebih 700 tempat sukan ais dan salji di seluruh negara, dan menjelang akhir 2023, angka itu meningkat kepada 2,847.

Namun, berikutan oleh permulaan ekonomi ais dan salji China yang agak lewat, jumlah tempat ais dan salji yang berkualiti tinggi juga terhad. Pembinaan kem sukan luar agak ketinggalan, dan kemudahan perkhidmatan awam turut masih belum sempurna.

Peng Fuwei, ketua Jabatan Pembangunan Sosial di bawah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara berkata bahawa China akan memanfaatkan sepenuhnya usaha kerajaan tempatan dan pelbagai sektor masyarakat untuk meningkatkan tahap perkhidmatan sokongan untuk tempat ais dan salji.

Video

Berita Berkaitan