- Lain-lain
Kerjasama Ekonomi Digital, E-Dagang Rentas Sempadan Dengan China Jadi Fokus Indonesia
![]() |
Konsul Jeneral Indonesia di Guangzhou, Ben Perkasa Drajat menerima wawancara eksklusif People’s Daily Online di Nanning, Guangxi. (Foto/People’s Daily Online) |
Perjanjian rangka kerja ekonomi digital yang merupakan antara keutamaan semasa Indonesia mempengerusikan ASEAN pada 2023 dijangka siap menjelang tahun depan.
Menurut Konsul Jeneral Indonesia di Guangzhou, Ben Perkasa Drajat ketika menerima wawancara People’s Daily Online baru-baru ini, pemimpin ASEAN telah menyatakan persetujuan untuk menubuhkan perjanjian tersebut.
Mengulas lanjut berhubung kerjasama dengan China, beliau menekankan beberapa inisiatif penting yang telah berlangsung sepanjang tahun 2024 – termasuk pameran e-dagang rentas sempadan di Fuzhou pada bulan Mac, yang menyaksikan Indonesia menjadi negara tetamu kehormat.
“Selain itu, Pameran Industri E-Dagang Antarabangsa China turut dianjurkan di Jakarta oleh Majlis Mempromosi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) pada September lalu, yang menyediakan peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana Indonesia untuk bersemuka dengan penyedia perkhidmatan e-dagang terkemuka,” ujar beliau.
Ben berkata, Guangxi dikenali sebagai tuan rumah Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) tahunan, yang menjadi platform bagi usahawan ASEAN untuk berhubung dengan rakan kongsi di China.
“Kelebihan Guangxi dari sudut geografi, termasuk Zon Rintis Perdagangan Bebas Guangxi, boleh dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN sebagai pintu masuk bagi produk mereka ke pasaran China,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, Ben turut menekankan tentang kepentingan dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) melalui e-dagang.
Mengambil platform Hari Jualan Dalam Talian ASEAN yang dimulakan pada 2020 sebagai contoh, beliau berkata ia merupakan antara inisiatif untuk meningkatkan potensi digital ASEAN.
“Program pembangunan kapasiti dan sokongan khusus juga diharapkan dapat membantu MSME bersaing dalam ekonomi digital,” ujar Ben.
Konsul jeneral itu juga berkata bahawa Indonesia turut menyasarkan untuk memperdalam kerjasama bagi manfaat bersama dalam platform tersebut.
Ben menyatakan bahawa sarang burung Indonesia yang diminati rakyat China merupakan antara produk yang mempunyai kelebihan kompetitif, di samping produk-produk tempatan lain seperti kopi, kelapa, dan durian.
Dalam perkembangan lain, satu inisiatif iaitu Guangxi New Silk Road New Year E-commerce Festival akan dianjurkan pada ambang sambutan Tahun Baru 2025 di Nanning, ibu kota wilayah Guangxi.
Difahamkan, festival tersebut merupakan salah satu agenda dalam usaha mendalami kerjasama e-dagang dengan negara-negara ASEAN dan memperluaskan jalin perdagangan digital antara China dan ASEAN.
Menyentuh mengenai penganjuran acara yang disifatkannya sebagai tidak mengenal sempadan dan berperanan memupuk persahabatan serta kerjasama Laluan Sutera itu, Ben berharap agar acara tersebut dapat berlangsung dengan cemerlang.
- Pembuat Bateri China Lancarkan Projek di Indonesia
- Tentera China, Indonesia akan Adakan Latihan Bersama “Peace Garuda-2024”
- Kerjasama Jadi Pendekatan ke Arah Keamanan, Kemakmuran: Prabowo
- Presiden Xi Bertemu Presiden Indonesia Prabowo
- Presiden Indonesia Prabowo Bakal Lawat China
- Kedutaan Indonesia di China Adakan Sambutan Hari Kebangsaan
- Presiden Indonesia Baharu Terima Kunjungan Naib Presiden China
- Han Zheng akan Lawat Indonesia dan Brunei
- Xi Ucap Tahniah kepada Prabowo Subianto Jawat Presiden Indonesia
- China, Indonesia Komited Perkukuh Kerjasama BRI