Menteri Luar China, Iran Adakan Rundingan di Beijing

(CRI)Ahad 29 Disember 2024
Menteri Luar China, Iran Adakan Rundingan di Beijing

Menteri Luar China Wang Yi mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Iran Seyyed Abbas Araghchi di Beijing pada Sabtu.

Wang berkata kedua-dua pihak hendaklah terus saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras satu sama lain, di samping memantapkan kerjasama pragmatik dan memperkasa kolaborasi multilateral.

Beliau juga menekankan perlunya dua negara merapatkan penyelarasan dalam rangka Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) sambil bersinergi menaiktarafkan kerjasama 'BRICS Raya'.

Sementara itu, Araghchi menzahirkan hasrat pihaknya untuk merapatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China, memperdalam kerjasama saling untung dan mempertingkat komunikasi dan koordinasi dalam rangka multilateral antaranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), SCO dan BRICS.

Berhubung situasi semasa di Asia Barat, kedua-dua pihak sependapat bahawa Asia Barat bukan medan perlawanan untuk kuasa besar, dan ia tidak seharusnya menjadi mangsa persaingan geopolitik dan konfrontasi antara kuasa dari luar rantau. Masa depan negara Asia Barat perlu ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

Menyentuh isu nuklear Iran, Wang menegaskan China berpendirian konsisten bahawa isu berkenaan perlu diselesaikan menerusi saluran politik dan diplomasi, di samping Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) harus dipelihara.

Semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan konstruktif untuk memulihkan dialog dan rundingan, tambah beliau.

Video

Berita Berkaitan