Acara Hiburan, Sukan Rancakkan Kedatangan Pelancong Luar ke Hainan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 30 Disember 2024

Kejuaraan IILCA Terbuka Asia 2024 melabuhkan tirai di Haikou, Provinsi Hainan di selatan China pada 20 Disember 2024. Lebih daripada 200 atlet dari 18 negara dan wilayah seluruh dunia telah menyertai acara tersebut. (China News Service/Luo Yunfei)

Kejuaraan IILCA Terbuka Asia 2024 melabuhkan tirai di Haikou, Provinsi Hainan di selatan China pada 20 Disember 2024. Lebih daripada 200 atlet dari 18 negara dan wilayah seluruh dunia telah menyertai acara tersebut. (China News Service/Luo Yunfei)

Sejak bermulanya musim sejuk, pelbagai acara sukan telah diadakan di Provinsi Hainan, selatan China.

Bandar-bandar serta kaunti di seluruh provinsi tersebut telah menjadi tuan rumah kepada banyak acara maraton, dengan acara maraton yang pertama di pekan Boao, bandar Qionghai telah menarik hampir 10,000 pelari dari sembilan negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia.

Keterujaan di Hainan bukan dapat dilihat pada acara sukan sahaja, malahan pada aktiviti hiburan yang kian merancak. Kemunculan penyanyi Amerika, Kanye West dan Charlie Puth, serta Orkestra Philadelphia di Haikou untuk mengadakan persembahan telah menyumbang kepada kemeriahan tersebut.

Untuk rekod, aktiviti pelancongan di Hainan telah memperlihatkan peningkatan sejak awal tahun ini, dengan statistik menunjukkan pulau itu telah menerima kedatangan 900,000 pelancong dari luar negara untuk 11 bulan pertama 2024, sekali gus memperlihatkan kenaikan 130 peratus dari tahun ke tahun.

Menurut Chen Tiejun, pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan, Radio, Filem dan Televisyen, dan Sukan Provinsi Hainan, kenaikan mendadak ‘Pelancongan Hainan’ antaranya telah disumbangkan daripada pelaksanaan dasar-dasar komprehensif yang pelbagai oleh Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan, khususnya dasar pengecualian visa.

Mulai 9 Februari, pelancong daripada 59 negara telah dibenarkan untuk memasuki Hainan secara bebas visa bagi tujuan seperti perniagaan, pelancongan, mengikuti pameran atau sukan, yang membolehkan mereka berada di Hainan sehingga 30 hari.

Pada Julai, Hainan memperkenalkan dasar bebas visa 144 jam kepada kumpulan pelancong asing yang masuk dari Hong Kong dan Macau. Pada 17 Disember lalu, China membuat pelonggaran dengan melaksanakan dasar transit bebas visa, dengan menambah tempoh tinggal pelancong asing kepada 240 jam.

Difahamkan, dua lapangan terbang di Hainan telah dikhususkan untuk aktiviti keluar dan masuk bebas visa, manakala kawasan-kawasan yang pelancong boleh tinggal ketika melakukan transit telah diperluaskan kepada seluruh provinsi.

Qionghai Boao Marathon 2024 dirasmikan di pekan Boao, bandar Qionghai, Provinsi Hainan, selatan China pada 22 Disember 2024. (China News Service/Luo Yunfei)

Qionghai Boao Marathon 2024 dirasmikan di pekan Boao, bandar Qionghai, Provinsi Hainan, selatan China pada 22 Disember 2024. (China News Service/Luo Yunfei)

Video

Berita Berkaitan