Gempa Xizang: UAV Besar Bantu Usaha Menyelamat

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 10 Januari 2025

Wing Loong-2H, pesawat tanpa pemandu (UAV) awam bersaiz besar telah digunakan untuk membantu usaha menyelamat susulan gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter yang melanda Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China pada Selasa.

Memetik laporan agensi berita Xinhua pada Khamis, Perbadanan Industri Penerbangan China (AVIC) selaku pemaju UAV itu memaklumkan bahawa jabatan pengurusan bencana telah mengerahkan Wing Loong-2H untuk menjalankan misi penilaian bencana di Kaunti Dingri, iaitu pusat bencana pada Selasa dan Rabu.

Menurut AVIC, UAV tersebut menghantar data masa nyata dan imej beresolusi tinggi berkaitan dengan kawasan yang terjejas, kepada jabatan pengurusan bencana, sekali gus memberikan bantuan penting dalam mengenal pasti risiko, memerhati bencana, dan membuat sasaran operasi menyelamat.

Difahamkan, UAV itu juga dilengkapi dengan peranti optik elektro dan radar apertur sintetik untuk mendapatkan maklumat utama seperti bangunan runtuh, lokasi mangsa yang terperangkap, susun atur lokasi bantuan serta pengedaran masa nyata pasukan penyelamat di tapak bencana.

Terdahulu, model UAV yang dikhususkan untuk misi bantuan itu telah digunakan dalam pelbagai kecemasan seperti hujan kilat, gempa bumi dan kebakaran hutan.

Mengikut laporan Xinhua, gempa bumi tersebut telah mengakibatkan 126 individu meninggal dunia, dan 188 lagi mengalami kecederaan. Pada masa sama, sejumlah 407 individu yang terperangkap juga telah berjaya diselamatkan.

Gambar ini menunjukkan pesawat tanpa pemandu jenis Wing Loong-2H bersedia di Lapangan Terbang Heping (Peace) Xigaze, Wilayah Autonomi Xizang.

Gambar ini menunjukkan pesawat tanpa pemandu jenis Wing Loong-2H bersedia di Lapangan Terbang Heping (Peace) Xigaze, Wilayah Autonomi Xizang.

Video

Berita Berkaitan