- Lain-lain
China Umum Kru Shenzhou-20 Untuk Misi Stesen Angkasa Lepas
Foto anggota kru Shenzhou-20 Chen Dong (tengah), Chen Zhongrui (kanan) dan Wang Jie. Angkasawan Chen Dong, Chen Zhongrui, dan Wang Jie akan melaksanakan misi penerbangan angkasa lepas bermanusia Shenzhou-20, dengan misi akan diketuai oleh Chen Dong. (Xinhua)
Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA) mengumumkan bahawa tiga angkasawan China iaitu Chen Dong, Chen Zhongrui dan Wang Jie akan melaksanakan misi penerbangan angkasa lepas bermanusia Shenzhou-20, dengan misi akan diketuai oleh Chen Dong, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu.
Menurut Xinhua yang memetik Lin Xiqiang, jurucakap CMSA dalam satu sidang media hari ini memaklumkan bahawa kapal angkasa bermanusia itu dijadualkan untuk dilancarkan tepat pukul 5.17 petang Khamis dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China.
Untuk rekod, Chen Dong telah menyertai misi angkasa lepas Shenzhou-11 dan Shenzhou-14, selain pernah mengetuai kru Shenzhou-14, dan akan menggalas semula tugas tersebut selepas selang dua tahun.
Lapor Xinhua, Chen Dong juga akan menjadi angkasawan dari kumpulan kedua China yang melaksanakan tiga misi penerbangan angkasa lepas.
Difahamkan, Chen Zhongrui dan Wang Jie pula merupakan angkasawan dari kumpulan ketiga dan akan melakukan misi angkasa lepas yang pertama. Sebelum terpilih sebagai angkasawan, Chen Zhongrui merupakan seorang juruterbang tentera udara, sementara Wang Jie pula adalah jurutera di Akademi Teknologi Angkasa Lepas China di bawah Perbadanan Sains Aeroangkasa dan Teknologi China.
Foto Chen Dong, angkasawan Shenzhou-20. (Xinhua)
Foto Chen Zhongrui, angkasawan Shenzhou-20. (Xinhua)
Foto Wang Jie, angkasawan Shenzhou-20. (Xinhua)