Bekas Duta Besar: Malaysia, China Bina Masa Depan yang Berkongsi untuk Kemakmuran

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 25 April 2025

Nota: Artikel yang diterbitkan oleh agensi berita Xinhua ini diterjemah dan disunting oleh People’s Daily Online

Orang ramai menyertai larian persahabatan Malaysia-China 2024 di Kota Kinabalu, Sabah pada 25 Ogos 2024. (Xinhua/Cheng Yiheng)

Orang ramai menyertai larian persahabatan Malaysia-China 2024 di Kota Kinabalu, Sabah pada 25 Ogos 2024. (Xinhua/Cheng Yiheng)

Presiden Persatuan Persahabatan China-Malaysia, Abdul Majid Ahmad Khan menyatakan bahawa lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia telah menyuntuk momentum segar terhadap usaha memperdalam komuniti Malaysia-China yang berkongsi masa depan.

Dalam rangka lawatannya, Xi telah bertemu dengan Yang Dipertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pihak telah berikrar untuk membina komuniti China-Malaysia strategik yang bertaraf tinggi dengan berkongsi masa depan, untuk mempercepat usaha pemodenannya dan bersama-sama mempromosi kemakmuran dan kestabilan serantau mahupun global.

Abdul Majid yang juga mantan duta besar Malaysia ke China ketika diwawancara Xinhua berkata bahawa lawatan Xi mencerminkan pembangunan bertaraf tinggi dan masa depan yang cerah dalam hubungan dua hala.

Beliau berkata, pada tahun-tahun mutakhir ini, pembinaan komuniti Malaysia-China yang berkongsi masa depan telah terus maju dengan stabil, serta membuahkan pencapaian dalam saling percaya politik, kerjasama praktikal, dan pertukaran antara rakyat.

Jelas Abdul Majid, kesemua pencapaian tersebut telah mempamerkan daya tahan dan potensi hubungan dua hala.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh mengenai artikel yang ditandatangani Xi, yang diterbitkan dalam media Malaysia dengan memetik bidalan Melayu iaitu ‘air yang dicencang tidak akan putus’ bagi memberi gambaran terhadap persahabatan kedua-dua negara.

Menurut Abdul Majid, bidalan tersebut disifatkan sebagai sangat tepat dan adalah cerminan kepada semangat ‘berkongsi susah dan senang’ yang menguatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Biarpun apa sahaja cabaran yang kita akan hadapi, hubungan kita kekal utuh,” ujar beliau lagi.

Semasa lawatan Xi tersebut, kedua-dua pihak saling bertukar lebih daripada 30 dokumen kerjasama dua hala, antaranya meliputi kerjasama tentang tiga inisiatif global utama, dialog peradaban Confucius-Islam, ekonomi digital dan perkhidmatan tukar beli.

Abdul Majid berkata bahawa dokumen kerjasama tersebut dengan bidang yang diperkembang dan isi kandungan yang diperkaya telah memperlihatkan hubungan dua hala telah memasuki fasa baharu pembangunan penuh bertenaga, yang menyasarkan untuk mencapai kemakmuran bersama.

Foto dron bertarikh 13 Jun 2024 ini memaparkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Pahang, Malaysia. (Xinhua/Cheng Yiheng)

Foto dron bertarikh 13 Jun 2024 ini memaparkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Pahang, Malaysia. (Xinhua/Cheng Yiheng)

Beliau juga menekankan bahawa pembangunan China telah memberi manfaat yang bukan sahaja kepada rakyatnya, tetapi juga kepada negara-negara lain, termasuk Malaysia, dan memetik Universiti Xiamen Malaysia dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) sebagai contoh jelas kepada hasil kerjasama dua hala.

“(Projek-projek tersebut) telah mewujudkan peluang pekerjaan, dan membawa pertumbuhan kepada kawasan terbiar di Malaysia,” ujar Abdul Majid.

Dalam lawatan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjadi teladan kepada kerjasama serantau dalam tenaga produktif berkualiti baharu. Memfokuskan kepada empat bidang utama iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi biru dan ekonomi pelancongan, kedua-dua pihak berazam untuk mengembangkan masa depan kerjasama ekonomi, bagi menambah baik taraf dan kualiti kerjasama China-Malaysia.

Dengan Malaysia yang terus memupuk inisiatif Ekonomi MADANI dan berusaha ke arah transformasi ekonomi, Abdul Majid percaya bahawa kedua-dua negara akan mencapai penjajaran yang lebih baik dan kerjasama yang lebih rapat.

Beliau juga memberitahu bahawa penekanan China terhadap teknologi hijau dan kecerdasan buatan telah memberikan hala tuju baharu buat Malaysia dan membima ekonomi yang berasaskan teknologi dan mampan.

“Melalui pengukuhan kerjasama dengan China, Malaysia boleh menaik taraf kebolehan perindustriannya dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam landskap ekonomi serantau,” tambah Abdul Majid.

Melihat ke hadapan, beliau menyatakan bahawa peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan memperdalam kolaborasi dengan rakan kongsi serantau, termasuk China.

“China sentiasa menjadi rakan ASEAN yang paling dinamik, khususnya dalam bidang seperti ketersambungan, ekonomi digital, dan penyepaduan rantai bekalan,” ujar beliau sambil menambah bahawa perkongsian itu bukan sahaja mempercepat penyepaduan ekonomi serantau, malah seiring dengan aspirasi kolektif negara Selatan Global untuk pembangunan dan autonomi.

Video

Berita Berkaitan