BYD Shenzen, Pembawa Kereta Terbesar di Dunia Mulakan Perjalanan Sulung ke Brazil

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 28 April 2025

 

Foto yang diambil pada 22 April ini menunjukkan "BYD Shenzhen". (foto/Xinhua)

Foto yang diambil pada 22 April ini menunjukkan "BYD Shenzhen". (foto/Xinhua)

‘BYD Shenzhen’, pembawa kereta China terbesar di dunia yang dibangunkan secara kendiri sepenuhnya telah memulakan perjalanan sulungnya dengan membawa lebih daripada 7,000 kenderaan tenaga baharu (NEV) BYD pada petang Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Memetik kenyataan rasmi BYD, Xinhua melaporkan bahawa pembawa kereta itu telah berlepas dari Pelabuhan Taicang di Provinsi Jiangsu, timur China, dan dijangka untuk tiba di Pelabuhan Itajai di Brazil sekitar 30 hari selepas berlayar.

Dibina oleh limbungan kapal di bawah China Merchants Group, BYD Shenzhen merupakan pembawa NEV yang mampu memuatkan 9,200 kenderaan standard, dan ia juga adalah kapal keempat BYD yang dikhususkan untuk membawa NEV.

Menurut Xinhua, kapal sepanjang 219 meter dengan lebar 37.7 meter itu telah dihantar pada 22 April di bandar Yizheng, Jiangsu. BYD Shenzhen turut menampilkan ciri-ciri teknologi hijau termaju seperti kecekapan tinggi, enjin utama jimat tenaga dan pemeluwap semula Gas Didih Habis (BOG), serta penyalutan antitumbuhan dan kurang seretan.

Wang Junbao, pengurus besar jabatan perniagaan am BYD semasa majlis penyerahan kapal itu memaklumkan bahawa teknologi pelindung maju dan sistem muatan cekap yang dimiliki BYD Shenzhen mampu menyediakan sokongan logistik rendah karbon dan stabil untuk penghantaran global NEV BYD.

“Penghantaran BYD Shenzhen memperlihatkan langkah penting dalam strategi globalisasi BYD. Ia bukan sekadar kapal pengangkut, tetapi juga berfungsi sebagai ‘jambatan maritim’ yang menghubungkan inovasi China dengan pasaran global, sekali gus membolehkan pengguna di serata dunia dapat berkongsi manfaat teknologi China,” ujar beliau.

Xinhua yang memetik Pentadbiran Am Kastam China memberitahu bahawa eksport automobil China telah melangkaui angka 6.4 juta unit pada 2024, secara tidak langsung mengekalkan kedudukan pertama di dunia buat dua tahun berturut-turut.

Mengulas mengenai permintaan kapasiti pengangkut kenderaan yang semakin meningkat, pembuat kereta China seperti BYD, Chery, SAIC Motor telah membina armada masing-masing pada tahun-tahun mutakhir ini.

Foto yang diambil pada 22 April ini menunjukkan "BYD Shenzhen". (foto/Xinhua)

Foto yang diambil pada 22 April ini menunjukkan "BYD Shenzhen". (foto/Xinhua)

Pada Januari 2023, Syarikat Guangzhou Shipyard International mengumumkan pengesahan tempahan dua pembawa kereta bahan api duaan untuk BYD. Tidak lama selepas itu, Chery pula mengumumkan pelan untuk mewujudkan armadanya sendiri, manakala lengan logistik SAIC Motor iaitu Anji Logistics pula menempah beberapa pembawa kereta bersaiz besar daripada Jiangnan Shiypard dengan kapasiti melebihi 7,000 kenderaan.

Data pada suku pertama 2025 menunjukkan bahawa pembawa kereta BYD telah menghantar lebih daripada 25,000 NEV ke luar negara. Sehingga kini, NEV BYD telah berada di lebih 400 bandar di lebih daripada 100 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Pada 2024, jualan antarabangsa BYD telah mencecah 417,200 unit. Daripada kesemuanya, Brazil muncul sebagai pasaran cemerlang dengan sejumlah 76,500 kenderaan terjual, sekali gus mencapai kadar pertumbuhan memberangsangkan dari tahun ke tahun sebanyak 328 peratus.

Lapor Xinhua lagi, pelancaran BYD Shenzhen dijangka akan menambah baik lagi keberadaan dan kemampuan penghantaran syarikat itu di luar negara.

“Bagi pembuat kereta, memiliki arma sendiri bermakna dapat memastikan operasi eksport yang stabil, mengurangkan kos pengangkutan, dan menjamin penghantaran produk kepada pelanggan luar negara tepat pada masanya,” ujar Xie Xiaowen, pakar di Persatuan Komunikasi dan Pengangkutan China.

Video

Berita Berkaitan