Pasukan Inovasi Qingdao Catat 12 Rekod Dunia Dalam Pengoperasian Pelabuhan Automatik

Semasa peringkat awal pembinaan terminal automatik Pelabuhan Qingdao, Zhang Liangang (tiga dari kiri) menerajui pasukannya untuk melakukan pemeriksaan di tapak. (Foto oleh Kumpulan Pelabuhan Shandong)

Semasa peringkat awal pembinaan terminal automatik Pelabuhan Qingdao, Zhang Liangang (tiga dari kiri) menerajui pasukannya untuk melakukan pemeriksaan di tapak. (Foto oleh Kumpulan Pelabuhan Shandong)

Di sebuah terminal kontena yang beroperasi sepenuhnya secara automatik Pelabuhan Qingdao oleh Kumpulan Pelabuhan Shangdong di Qingdao, Provinsi Shandong, timur China, kecekapan purata pengoperasian kren pelabuhan tunggal telah sekali lagi memecahkan rekod dunia, dengan mencapai 60.9 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) sejam.

Secara tidak langsung, ia menandakan kali ke-12 pencapaian ‘Pasukan Inovasi Liangang’ memecahkan rekod dunia dalam pengoperasian terminal kontena automatik.

Imbas kembali pada 2013, meskipun China ketika itu mempunyai tujuh daripada 10 pelabuhan kontena utama di dunia, namun terdapat satu kekurangan yang jelas dapat dilihat iaitu ia tidak langsung mempunyai terminal automatik.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Pelabuhan Qingdao telah melancarkan projek terminal automatik pada tahun yang sama. Zhang Liangang, individu yang telah menerajui beberapa projek teknologi dan saintifik, telah bertanggungjawab untuk membentuk ‘Pasukan Inovasi Liangang’, sekali gus membina terminal kontena automatik China yang pertama.

Mengenang kembali jerih awal yang dilalui, Zhang berkata operator terminal asing menghalang mereka untuk keluar daripada kenderaan untuk mengambil sekeping foto, sekali gus membuatkan usahanya belajar di luar negara sebagai sia-sia. Untuk membeli teknologi itu pula, harga yang diminta adalah terlalu tinggi.

Beliau yakin bahawa teknologi teras tidak boleh dibeli mahupun diminta, dan membuat sendiri adalah satu-satunya jalan keluar.

Apabila projek tersebut bermula, Zhang ketika itu masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan barah paru-paru.

“Waima kami telah memberikan yang terbaik, ia tidak menjaminkan kejayaan. Tetapi, usaha yang tanpa sepenuh hati pasti menjamin kegagalan,” ujarnya. Di bawah pimpinan beliau, pasukannya telah bekerja tanpa mengenal waktu, berusaha sehabis baik dengan kudrat yang ada.

Pada 11 Mei 2017, terminal kontena Pelabuhan Qingdao secara rasminya memulakan operasinya. Dengan ribuan kontena mula bergerak di sekitar, degup jantung setiap orang juga semakin laju.

Data yang dipaparkan pada skrin memberitahu, ‘Kecekapan kren tunggal: 26.1 TEU sejam’, iaitu memperbaharui rekod dunia bagi pengoperasian komersial pertama di terminal kontena automatik. Ketika itu, kelihatan air mata membasahi pipi sebilangan besar anggota kumpulan.

Beberapa kapal kontena sedang memuatkan dan memunggah kargo di teminal automatik sepenuhnya Pelabuhan Qingdao di Provinsi Shandong, timur China pada 18 Mac. (People’s Daily Online/Zhang Jingang)

Beberapa kapal kontena sedang memuatkan dan memunggah kargo di teminal automatik sepenuhnya Pelabuhan Qingdao di Provinsi Shandong, timur China pada 18 Mac. (People’s Daily Online/Zhang Jingang)

Semasa pembinaan Fasa II, pasukan itu menetapkan sasaran yang lebih tinggi, iaitu untuk melepaskan pencapaian Fasa I dan mewujudkan kepimpinan bertaraf global. Pasukan tersebut telah melaksanakan inovasi yang berani seperti peralatan yang dikuasakan hidrogen dan teknologi 5G.

Untuk Fasa III, mereka melancarkan Sistem Pengoperasian Terminal Automatik (A-TOS) yang dibangunkan secara domestik sepenuhnya, sekali gus mencapai autonomi penuh dalam kedua-dua teknologi perisian dan perkakasan – dari lapisan paling bawah ke sistem taraf pengaplikasian.

Algoritma perancangan laluan Kenderaan Dipandu Automatik (AGV) yang dikenali sebagai ‘roh’ kepada sistem kawalan terminal automatik, adalah salah satu penemuan baharu paling signifikan pasukan itu.

Bagi mensimulasi keadaan kerja dunia sebenar, pasukan tersebut melaksanakan ujian daya ketahanan selama 48 jam dalam suhu di bawah paras sifar, bertahan daripada pelbagai kegagalan dan kesilapan sebelum berjaya melancarkan algoritma perancangan laluan AGV berjenama baharu dan berkecekapan tinggi.

“Hanya dengan mempelajari ilmu baharu secara konsisten dan memahirkan (diri) dengan teknologi baharu kita boleh seiring mengejar kemajuan,” ujar Zhang Changjiang, anggota pasukan yang lahir pada tahun 1980-an. Beliau pernah mendedikasikan tiga hari berturut-turut untuk menyelesaikan kejejalan pengecasan, sekali gus dengan jayanya mengurangkan berat peralatan sebanyak 12 tan, dan memperpanjang jangka hayat bateri kepada lebih 12 tahun.

Menjalani perubahan daripada pengikut kepada pelopor, ‘Pasukan Inovasi Liangang’ telah berjaya mengekalkan momentum dalam kemajuan teknologi.

Telefon bimbit Zhang Liangang dipenuhi dengan cetak biru untuk projek-projek masa depan. Beliau berkata, pihaknya kini sedang merancang beberapa inovasi teknologi.

“Pertama, kami menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaan tenaga produktif berkualiti baharu seperti kecerdasan buatan. Kedua, kami akan memfokuskan kepada inovasi asal dan asas untuk peralatan mengendalikan pelabuhan yang ringan, hijau dan kecerdasan generasi seterusnya. Ketiga, kami komited untuk membina pelabuhan hijau dan pintar generasi seterusnya,” ujar beliau.

Video

Berita Berkaitan