Anak Kembar Panda Duta Aba, Sichuan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 25 November 2022
Anak Kembar Panda Duta Aba, Sichuan
Anak kembar Pinging pada usia 161 hari. (Gambar: Li Chuanyou/People.cn)

Pada 22 November, upacara penamaan dua ekor anak panda gergasi berlangsung di bandar Barkam, provinsi Sichuan, barat daya China. Si comel kembar dua ini merupakan duta panda bagi kawasan autonomi Aba yang berpenduduk etnik Tibet dan Qiang.

Nama yang dipilih, “Dongqia” dan “Baiji”, masing-masing merupakan transliterasi ungkapan “panda gergasi” dalam bahasa etnik Tibet dan etnik Qiang. Ini satu lagi langkah diambil oleh Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China (CCRCGP) untuk mengeratkan kerjasama tempatan, selepas berganding bahu dengan Ya’an, Dujiangyan, Mianyang dan tempat-tempat lain di Sichuan dalam usaha melindungi spesies haiwan tersebut.

Anak kembar panda ini dilahirkan pada 19 Julai 2021 di pangkalan Wolong Shenshuping CCRCGP, oleh sang ibu yang bernama “Pingping”. Kembar betina yang lebih tua, sifatnya berdikari dan pendiam, gemar tidur di atas pokok dan suka akan kebersihan. Kembar jantan yang lebih muda pula lincah dan aktif, dan suka bermain dengan ibunya. Ciri paling ketara yang membezakan dua anak panda ini ialah kepanjangan hidung. Kembar betina hidungnya lebih panjang.

“Dongqia” dan “Baiji” masing-masing membesar dalam keadaan kesihatan yang cukup baik, menjadi tumpuan perhatian ramai peminat dengan telatah yang begitu comel.

Sebagai perintang keselamatan ekologi yang penting di hulu Sungai Yangtze dan Sungai Kuning, kawasan Aba yang terletak di zon teras Taman Negara Panda Gergasi menjadi tempat tinggal banyak panda gergasi liar. Sejak CCRCGP menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan kawasan Aba, kedua-dua pihak telah memanfaatkan kelebihan masing-masing dalam penyelidikan dan perlindungan panda gergasi serta usaha mempromosi jenama dan sains berkaitan. Ini menyumbang kepada pembinaan Taman Negara Panda Gergasi di Aba, menggalakkan perlindungan biodiversiti berasaskan panda gergasi, dan meningkatkan pembangunan sosioekonomi di sana.

Selaku tonggak penting penyelidikan perlindungan panda gergasi, CCRCGP akan mengambil peluang sempena upacara penamaan dua panda gergasi ini dengan Taman Negara Panda Gergasi sebagai platform, untuk terus bekerjasama dengan kawasan Aba. Ini bagi mendorong pembangunan berkualiti pemuliharaan panda gergasi, membantu merealisasikan matlamat strategik kawasan Aba, sekali gus mencari jalan untuk membolehkan manusia dan alam wujud bersama secara harmoni. 

Gaya Hidup