E-dagang Rentas Sempadan, Peluang buat Bandar Pedalaman China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 29 November 2022

Gambar pada 19 Ogos 2021 menunjukkan kawasan pameran e-dagang rentas sempadan Ekspo China-Arab kelima di bandar Yinchuan, Wilayah Autonomi Ningxia, barat laut China. (Xinhua/Feng Kaihua)

Setiap hari, Yan Xinhua akan memantau penghantaran belasan kontena ke Pelabuhan Tianjin yang jauhnya sekitar 1,200 kilometer, untuk diangkut terus ke pasaran luar negara.

Selepas mendapat pelepasan kastam daripada pihak berkuasa Yinchuan, iaitu ibu kota wilayah Ningxia, barangan untuk eksport akan dimuatkan ke dalam kontena kendalian syarikat Yan yang menawarkan perkhidmatan pos antarabangsa.

“Kami memulakan perkhidmatan logistik langsung bagi mengeksport produk buatan Ningxia ke luar negara dua tahun lalu dan kini menguruskan 3,000 kontena setiap tahun,” ujar Yan, 40 tahun, yang juga pengerusi sebuah syarikat logistik.

Tahun-tahun kebelakangan ini, dasar berorientasikan eksport telah membawa manfaat kepada syarikat Yan yang terletak di Jalan Antarabangsa Yinchuan dan Pelabuhan Logistik Landasan Kereta Api di kawasan pinggir bandar Yinchuan.

Menurut statistik pihak berkuasa, dasar tersebut telah menyumbang kukuh kepada pertumbuhan perdagangan antarabangsa Ningxia. Dalam 10 bulan pertama tahun ini, import dan eksport Ningxia meningkat 57.6 peratus tahun ke tahun dengan nilai barangan sebanyak 21.4 bilion yuan (13.4 bilion ringgit).

Statistik Kastam Yinchuan menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada barangan eksport adalah yang dijual melalui logistik terikat dan e-dagang rentas sempadan.

“Sistem logistik terikat di Ningxia memungkinkan perkhidmatan pelepasan ‘satu cap’ dan barangan dapat diangkut ke luar negara tanpa sebarang transit,” kata Yan.

Tambah beliau, dasar tersebut telah membantu meningkatkan kecekapan pelepasan kastam dengan menjimatkan separuh masa pengangkutan dan mengurangkan kosnya sebanyak 30 peratus.

Dengan dasar bersifat pro-eksport dari segi pelepasan kastam dan cukai, e-dagang memainkan peranan yang semakin penting dalam transaksi rentas sempadan di Wilayah Ningxia, sekaligus membawa lagi banyak peluang perdagangan.

Wilayah Ningxia yang terletak di kawasan pedalaman China, mengambil kesempatan untuk mengikut trend perkembangan e-dagang dan telah mewujudkan zon perintis komprehensif e-dagang rentas sempadan, termasuk lima taman perindustrian e-dagang rentas sempadan dan satu pangkalan inkubasi e-dagang rentas sempadan di zon logistik terikat.

Menurut statistik Kastam China, jumlah transaksi e-dagang rentas sempadan negara ini telah meningkat hampir 10 kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu kepada 1.92 trilion yuan (1.21 trilion ringgit) pada tahun lepas.

Dengan mengambil kesempatan ledakan e-dagang rentas sempadan, bandar Yinchuan kini mempunyai 475 syarikat yang terlibat dalam e-dagang, yang telah mendaftarkan lebih 40 jenama di negara lain termasuk AS, Jepun dan Korea.

Barangan yang dijual terdiri daripada perabot, alat ganti kenderaan hingga pakaian ‘cosplay’. Pasaran utamanya meliputi Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.

Di samping itu, Zon Logistik Terikat Yinchuan turut membuka kedai bebas cukai untuk memudahkan barangan asing masuk ke pasaran tempatan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan