Aroma Kopi Bangkit Nostalgia Bekas Perantau

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 25 November 2022

Li Shihong bersama isterinya Shen Hongmei di kafe mereka di pekan Xinglong, bandar Wanning, provinsi Hainan pada 17 Nov. 2022. (Gambar oleh Chen Ziwei/Xinhua)

Campuran susu pekat dan kopi panggang arang, resipi kopi susu klasik Indonesia yang dibancuh barista Li Shihong, menyerbakkan aroma minuman panas itu ke segenap ruang.

Kopi ini amat digemari oleh komuniti perantau China yang pulang dari Indonesia kerana sering membangkitkan kenangan indah hidup di perantauan.

Li, 51, penduduk pekan Xinglong di Wanning, sebuah bandar pesisir pantai di provinsi pulau tropika Hainan, selatan China. Bersama-sama isterinya Shen Hongmei, beliau telah mengusahakan sebuah kafe di bandar itu sejak dua dekad lalu.

Li dan isteri kedua-duanya keturunan perantau China yang pulang dari seberang laut. Ibu Li telah pulang dari Indonesia dan ibu Shen dari Thailand.

Sejak tahun 1950-an, semakin ramai perantau China kembali dari tempat-tempat seperti Indonesia, Malaysia, Vietnam, Thailand dan Jepun lalu menetap di Xinglong. Justeru faktor ini mencorakkan Ladang Perantau China Xinglong dengan gabungan budaya pelbagai etnik.

Perantau China yang pulang dari negara Asia Tenggara turut membawa pulang tabiat minum kopi.

"Semua orang di sini minum kopi dan proses pengeluaran kopi tempatan agak ekstensif. Kami mahu meningkatkan kualiti kopi Xinglong dan memperkaya rasanya, maka kami membuka kedai kopi kami sendiri," kata Shen.

Kafe berkenaan mempunyai reputasi yang kukuh di kalangan penduduk tempatan. Saudara-mara dan rakan-rakan pasangan itu sering berkumpul di kafe untuk berbual-bual tentang hari-hari lalu yang indah. Pasangan itu banyak mendengar cerita menarik tentang nenek moyang mereka daripada bapa saudara, Lin Shihe dan Chen Defu.

Li Shihong bersama sanak saudara dan kawan-kawannya di kafe. (Gambar oleh Chen Ziwei/Xinhua)

Lin, 81, dilahirkan di Pulau Bangka di Indonesia. Beliau tiba di Xinglong pada 4 Mac 1960 dan selepas kembali ke China, ditugaskan untuk bekerja di ladang tempatan.

Disebabkan semangat dan ketekunannya, Lin mendapat peluang untuk belajar ilmu perubatan di Beijing hingga akhirnya menjadi pakar bedah am. Beliau bersara sebagai pengarah sebuah hospital tempatan di Xinglong.

Pakcik Chen kini berusia 79 tahun. Beliau dibesarkan di Indonesia sehingga berusia 10 tahun dan selepas itu kembali ke China bersama ibunya.

Semasa pulang, ibunya membawa semua mas kahwinnya, termasuk acuan pastri gangsa.

Pada masa itu, setiap keluarga perantau China akan membuat pastri sendiri. Dipengaruhi oleh budaya makanan perantau China yang kembali ke tanah air, penduduk tempatan Xinglong pernah meminjam acuan daripada ibu Chen untuk membuat pastri ala Indonesia semasa hari-hari perayaan.

"Ada kalanya ibu saya kurang pasti pada siapa acuan itu. Orang ramai bergilir-gilir menggunakannya," imbas Chen. Sejak itu, pastri eksotik berupa kek tujuh lapis itu tersebar luas dan menjadi hidangan istimewa tempatan yang turut disajikan di kedai kopi.

Shen Hongmei membuat kopi di kafe. (Gambar oleh Chen Ziwei/Xinhua)

Beberapa tahun lalu, Chen menyumbangkan dua set acuan kepada Muzium Sejarah Perantau China. "Saya harap lebih ramai orang akan memahami sejarah dan budaya orang China yang bermastautin di seberang laut. Saya mahu mewariskan tradisi itu," kata Chen.

Li sering meminta bapa saudaranya menerangkan ciri-ciri tersendiri budaya tempatan Xinglong amalan perantau China yang pulang ke tanah air. Jawapan yang beliau terima mudah sahaja, iaitu "bertolak ansur, bermotivasi, tekun dan positif. Kami diterima dengan mesra oleh penduduk tempatan. Oleh itu, kami memberikan layanan yang sama kepada semua orang."

Walaupun perniagaan mereka berkembang maju, Li dan isterinya tidak bercadang untuk membuka kafe lain di luar bandar. "Budaya perantau China jiwa kedai kopi kami. Tanpanya, kafe kami tidak akan maju seperti sekarang," kata Li.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan