Xi Utus Kawat Tahniah kepada Perhimpunan PBB Memperingati Hari Antarabangsa Perpaduan dengan Rakyat Palestin

(CRI)Rabu 30 November 2022

Presiden China, Xi Jinping mengutuskan kawat tahniah kepada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperingati Hari Antarabangsa Perpaduan dengan Rakyat Palestin pada Selasa.

Dalam perutusan tersebut, beliau menegaskan bahawa isu Palestin adalah teras bagi isu Timur Tengah.

Justeru, Xi berkata penyelesaian secara komprehensif dan adil isu Palestin bukan sahaja berkait dengan keamanan dan kestabilan serantau, bahkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

“Hidup bersama secara aman antara Palestin dan Israel, dan pembangunan bersama masyarakat Arab dengan Yahudi adalah selaras dengan kepentingan jangka panjang kedua-dua pihak.

“Ia juga aspirasi bersama rakyat semua negara,” ujar beliau.

Oleh itu, Xi berkata, masyarakat antarabangsa harus berpegang teguh kepada penyelesaian dua negara, meletakkan isu Palestin sebagai keutamaan dalam agenda antarabangsa, dan membantu rakyat Palestin merealisasikan impian untuk mendirikan negara merdeka dengan secepat mungkin.

“China dengan konsisten dan teguh menyokong perjuangan adil rakyat Palestin untuk memulihkan hak kebangsaan mereka yang sah, secara aktif mendorong rundingan damai, dan menggalakkan perdamaian antara Palestin dan Israel.

“China menyokong untuk mengukuhkan kuasa Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin dan meningkatkan perpaduan antara pelbagai pihak di Palestin.

“Kami (China) berharap Palestin dan Israel akan menyambung semula rundingan damai secepat mungkin dan membawa proses damai Timur Tengah kembali ke landasan yang betul,” kata beliau.

Xi mengulangi bahawa China akan terus memberikan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada Palestin, menyokong pembangunan mempan Palestin, dan membantu Palestin membangunkan ekonominya serta memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyatnya.

“Sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan PBB dan negara besar yang bertanggungjawab, China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memberi sumbangan positif kepada merealisasikan keamanan yang berkekalan, keselamatan umum dan kemakmuran bersama di rantau Timur Tengah,” tegasnya.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan