Hainan antara Terawal Tunjuk Tanda Sektor Pelancongan Pulih

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 28 Disember 2022

Baru-baru ini, media sosial China hangat membualkan fenomena pelancong yang sembuh dari COVID bergegas ke Sanya. Sanya, kota terkenal di provinsi beriklim tropika Hainan di selatan negara, juga menjadi destinasi popular di beberapa platform pelancongan.

Situasi bilik hotel habis ditempah sering berlaku beberapa hari kebelakangan ini, kata seorang staf hotel Sanya semasa diwawancara. Pemilik homestay tempatan turut memaklumkan bahawa bilik bagi cuti Tahun Baharu Cina telah habis ditempah.

Dengan dasar pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19 semakin dioptimumkan, Hainan antara provinsi yang paling awal menunjukkan tanda pemulihan dalam sektor pelancongan.

Menurut statistik platform pelancongan, jumlah tempahan penerbangan ke Sanya di China dari 7 Disember hingga 18 Disember telah meningkat hampir 10% berbanding masa sama tahun lepas dan lebih 80% berbanding tempoh 7 hingga 18 November.

Pelancong-pelancong dari Beijing amat menggemari Sanya. Pada minggu lepas, tempahan penerbangan dari Beijing ke Sanya di platform pelancongan yang sama, meningkat sebanyak 46% sementara harga purata tiket penerbangan naik 14% berbanding dengan tahun lalu. Di samping itu, tempahan hotel di Sanya oleh pelancong Beijing juga meningkat 30% tahun ke tahun. Statistik meletakkan Beijing-Sanya sebagai penerbangan domestik yang paling hangat dalam tempoh cuti Tahun Baharu.

Menurut kenyataan Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sanya pada 19 Disember, lapangan terbang tersebut menyambut ketibaan 310 penerbangan pada 13 Disember, manakala seramai 36,000 penumpang keluar masuk lapangan terbang, rekod baharu sejak bulan Ogos. Menurut anggaran pengamal, bilangan pelancong telah kembali ke tahap normal pada tempoh luar musim sebelumnya. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan