Tinjauan Umum: 88.1% Responden Sanjung Pencapaian China Dalam Usaha Melawan COVID-19

(CRI)Sabtu 28 Januari 2023
Tinjauan Umum: 88.1% Responden Sanjung Pencapaian China Dalam Usaha Melawan COVID-19

Sebanyak 88.1 peratus responden memberikan penilaian positif ke atas pencapaian China dalam usaha membendung COVID-19 dalam tempoh tiga tahun lalu.

Selain itu, sebanyak 71.6 peratus responden memberi pengiktirafan terhadap langkah pengubahsuaian dasar kawalan wabak di negara ini.

Demikian hasil tinjauan pendapat umum yang dijalankan bersama oleh kumpulan pemikir Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) dan Institut Tadbir Urus Negara dan Pendapat Awam Universiti Renmin China terhadap responden dari 21 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jerman.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan China menegakkan konsep “keselamatan rakyat dan nyawa diutamakan”, mengoptimumkan langkah pencegahan dan kawalan wabak, di samping melaksanakan pemvaksinan yang berskala terbesar di dunia, sehingga berjaya mengawal kadar kematian dan kes serius dengan berkesan.

Setakat ini, jumlah kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia melebihi 6.63 juta, manakala kadar kematian dan jangkitan serius di China masing-masing berada pada paras yang paling rendah di dunia.

Berdepan penularan wabak dalam tempoh tiga tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi di China menyaksikan peningkatan sebanyak 4.5 peratus purata tahunan. Yang lebih memberangsangkan adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China melebihi RMB120 trilion (RM75 trilion) pada tahun 2022.

Dalam konteks ini, sebanyak 86.8 peratus responden di dunia mengiktiraf pencapaian China dalam usaha membendung wabak dan membangunkan sosioekonomi.

Dalam pada itu, China menyediakan lebih 2.2 bilion dos vaksin COVID-19 kepada lebih 120 negara dan pertubuhan antarabangsa, dan menyediakan sejumlah besar sut perlindungan, ventilator, pelitup muka dan bekalan lain kepada 153 negara dan 15 pertubuhan antarabangsa dalam tiga tahun lalu.

Menurut hasil tinjauan itu, lebih 85.2 peratus responden memberikan penghargaan terhadap sumbangan China kepada usaha melawan wabak di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, beberapa media Barat mengkritik dasar pembendungan wabak di China, baik dasar ketat mahupun yang dilonggarkan.

Antara responden yang berpendapat laporan tersebut sebagai tidak adil, sebanyak 77.7 peratus menganggap laporan itu berunsur prejudis dari segi politik, 70 peratus responden adalah dari negara-negara Barat. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan