Syarikat Multinasional (MNC) Yakin, Tingkat Pelaburan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 30 Januari 2023
Syarikat Multinasional (MNC) Yakin, Tingkat Pelaburan
Para pekerja di talian pengeluaran kilang penghasilan produk elektronik untuk eksport di Hai'an, provinsi Jiangsu. (foto: Zhai Huiyong/China Daily)

Langkah-langkah China untuk terus membuka pintu, komitmennya ke arah neutral karbon, serta sektor perdagangan perkhidmatan yang berkembang pesat akan mendorong syarikat multinasional untuk meningkatkan pelaburan mereka di negara itu. Ini bagi mendapatkan keuntungan daripada potensi pasaran domestiknya yang luas, kata ketua dewan perniagaan asing, eksekutif korporat dan ahli akademik.

Kuasa beli China, keberkesanan kos dan kebolehpercayaan rantaian bekalan menarik minat semakin banyak MNC yang mahu kekal berdaya saing, serta menumpukan kepada bidang seperti pertumbuhan hijau, penjagaan kesihatan, pembuatan produk mewah, perdagangan perkhidmatan dan e-dagang rentas sempadan.

Memandangkan China terus maju ke hadapan dengan inovasi perindustrian, dan menggalakkan inisiatif perdagangan pelbagai hala dan merintis zon perdagangan bebas, banyak MNC sedang berusaha untuk mengorientasikan semula peranan mereka dalam corak pertumbuhan baharu negara, menekankan keyakinan jangka panjang mereka dalam operasi di China, kata Cui Fan, seorang profesor ekonomi di Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa di Beijing.

Dengan perancangan China untuk mencapai sasaran kemuncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2060, syarikat British telah menyokong pasaran karbon China dan mengurangkan kos tenaga angin luar pesisir, kata John Edwards, pesuruhjaya perdagangan UK untuk China.

"Hidrogen ialah satu lagi sumber yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi untuk kerjasama dua hala," katanya sambil menyatakan sejumlah besar syarikat UK telah mula membuat pembinaan dalam bidang ini di China.

Jens Hildebrandt, ketua wakil Delegasi Industri dan Perdagangan Jerman di Beijing berkata, "pasaran China amat penting untuk kebanyakan syarikat Jerman…. Syarikat Jerman menjangkakan pertumbuhan dalam kebanyakan industri, terutamanya dalam bidang seperti penyahkarbonan, e-mobiliti dan pemanduan terhubung."

Pandangan yang sama telah dikeluarkan oleh Roberta Lipson, naib pengerusi Lembaga Gabenor Dewan Perniagaan Amerika di China. Lipson berkata dasar baharu China untuk memperluas keterbukaannya mendapat sokongan daripada ketua-ketua perniagaan di AS, dan negara itu akan mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang seperti budaya, sains dan teknologi.

Lebih 99 peratus daripada syarikat asing yang ditinjau yakin bahawa ekonomi China akan berkembang dengan baik pada 2023, dan 98.7 peratus berkata mereka akan mengekalkan dan mengembangkan pelaburan mereka di China, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China yang berpangkalan di Beijing bulan lepas.

Memandangkan ekonomi terus pulih, pasaran China akan membawa lebih banyak peluang pelaburan yang lebih baik kepada syarikat global pada 2023, kata Zhang Xiaoyu, presiden bagi wilayah China di Arkema SA, sebuah pengeluar bahan khusus Perancis.

"Dengan dasar kawalan COVID-19 China yang terus-menerus dioptimumkan dan ikrar China untuk melakukan usaha yang lebih besar dalam mengekalkan pertumbuhan pelaburan asing yang stabil, kami kekal yakin dan bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan industri tempatan," katanya.

Bostik, salah satu anak syarikat Arkema mengumumkan bulan lepas, pelaburannya dalam perniagaan dan inovasi baharu di Shanghai akan ditingkatkan sebanyak 400 juta yuan (251.12 juta ringgit), kata Zhang.

China telah meletakkan keutamaan yang tinggi pada usaha mengukuhkan kapasiti inovasi, dan menggalakkan transformasi serta penaiktarafan sektor pembuatan dan perkhidmatannya. Ia telah mampu mencapai inovasi terobosan secara meluas merentasi pelbagai sektor, terutamanya dalam pendigitalan dan pembuatan pintar, kata Kilian Aviles, naib presiden kanan APAC di Dekra SE, kumpulan ujian, pemeriksaan dan pensijilan Jerman.

Berdasarkan data daripada Kementerian Perdagangan, walaupun pandemik COVID-19 dan tekanan kemerosotan menimbulkan cabaran kepada ekonomi global dalam tahun-tahun kebelakangan ini, penggunaan sebenar pelaburan langsung asing di tanah besar China berkembang 9.9 peratus tahun ke tahun kepada 1.16 trilion yuan sepanjang Januari hingga November 2022.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan