AS Digesa Jangan Lampaui Batas China

(CRI)Selasa 31 Januari 2023

Amerika Syarikat (AS) diingatkan jangan mencampuri hal ehwal dalaman dan menjejaskan kepentingan China sambil menunjukkan hasrat untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan negara Tembok Besar ini.

Gesaan itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar Mao Ning dalam sesi taklimat di Beijing pada Isnin apabila diminta mengulas tentang lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke China yang dijadual dalam masa terdekat ini.

Mutakhir ini, jurucakap Jabatan Negara AS mengatakan lawatan berkenaan akan menumpukan kepada pengurusan persaingan secara bertanggungjawab dan kolaborasi dalam menangani cabaran transnasional, serta menyampaikan kebimbangan terhadap isu-isu berkaitan Taiwan, fentanyl, Ukraine dan Semenanjung Korea.

Sehubungan itu, Mao menekankan bahawa China sentiasa mematuhi tiga prinsip yang disyorkan Presiden Xi Jinping dalam mengembangkan hubungan China-AS iaitu saling hormat, hidup bersama secara aman dan kerjasama menang-menang.

Pada masa sama, China juga berpendirian tegas dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara.

Mao berkata China tidak mengelak atau gentar berdepan persaingan, serta menolak cubaan mendefinisikan keseluruhan hubungan China-AS dengan persaingan dan menindas negara lain dengan dalih serupa.

China bersedia menjalankan komunikasi dan kerjasama peringkat bilateral dan multilateral dengan AS berlandaskan prinsip saling menghormati, saksama dan saling manfaat.

"Isu Taiwan, inti kepentingan teras China, merupakan asas politik bagi hubungan China-AS. Ia juga garis merah pertama yang tidak boleh dilangkaui dalam hubungan dua hala," tegas beliau.

Mao turut menggesa AS supaya jangan cuba mencabar batas China pada bila-bila masa.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan