Rasuah Bijiran Tidak Boleh Dibiarkan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 02 Februari 2023

Di bandar Heihe, provinsi Heilongjiang China, pekerja di sebuah syarikat bijiran sedang mengeringkan jagung menggunakan mesin. (foto: Xinhua)

Usaha untuk menghapuskan rasuah dalam industri bijiran harus terus diperkukuh demi khidmat yang lebih baik dan menjaga keselamatan makanan negara, kata agensi antirasuah yang tertinggi di China.

Memandang keselamatan makanan sebagai asas ekonomi dan kehidupan rakyat, Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Parti Komunis China dan Suruhanjaya Penyeliaan Kebangsaan China baru-baru ini mengeluarkan garis panduan yang menggesa hukuman lebih berat bagi pegawai yang terbabit dalam masalah rasuah.

Kedua-dua badan tersebut menjelaskan dalam kenyataan pada 30 Januari, “sikap toleransi sifar dan tekanan tinggi terhadap rasuah berkaitan dengan industri bijiran harus dikekalkan”. Kedua-dua badan berkata mereka akan menumpukan pada ketidakteraturan dalam pembelian, bekalan dan penjualan bijiran.

Mereka berikrar untuk memerangi tingkah laku menggantikan bijiran baharu dengan yang lama serta menyelesaikan isu-isu lain seperti penyelewengan pegawai, formalisme dan birokrasi dalam industri makanan. Selain itu, mereka mencadangkan supaya penyeliaan dan akauntabiliti diperkuat.

Sebelum ini, kedua-dua badan tersebut telah mendedahkan 10 kes di mana bekas pegawai melanggar undang-undang dan disiplin semasa berkhidmat dalam jawatan berkaitan dengan industri bijiran.

Sebagai contoh, bekas timbalan pengarah China Grain Reserves Group atau Sinograin, Xu Baoyi, didakwa menerima suapan berjumlah lebih 13 juta yuan (8.22 juta ringgit), mengabaikan tugas dan melakukan perdagangan orang dalam, oleh pendakwa raya di provinsi Shanxi pada Okotober 2022.

Kesnya difailkan di Mahkamah Pertengahan Rakyat Datong di provinsi Shanxi.

Antara kes-kes seumpama, jumlah rasuah terbesar yang dituduhkan adalah berkaitan dengan bekas ketua Biro Pentadbiran Bijiran Provinsi Heilongjiang, Hu Dongsheng.

Pada Julai 2022, Hu dibicarakan di Mahkamah Pertengahan Rakyat di provinsi Heilongjiang.

Pengarah pusat penyelidikan dan pendidikan di bawah Universiti Beihang, Ren Jianming berkata bahawa, pendedahan kes-kes itu bukan sahaja untuk memaklumkan pencapaian usaha antirasuah kepada rakyat, “tetapi juga memberi amaran kepada semua pegawai yang berkhidmat dalam industri bijiran supaya memastikan mereka tidak berani, tidak mampu, dan tidak mempunyai keinginan melakukan rasuah.”

Ren menegaskan kepentingan penyeliaan, sambil menambah bahawa muhasabah diri dan pengawasan terhadap pegawai, terutama pegawai tinggi adalah kunci untuk mencegah rasuah.

Xu Hao, peguam dari Firma Guaman Jingsh Beijing berkata, dia gembira melihat China lebih mementingkan usaha menghapuskan rasuah yang berkaitan dengan industri bijiran dalam tahun-tahun kebelakangan ini, “kerana keselamatan makanan amat dekat dengan kehidupan rakyat dan keselamatan negara.”

Xu menegaskan bahawa jual beli bijiran merupakan kunci keselamatan makanan, sambil mencadangkan jabatan penyeliaan dan disiplin di semua peringkat memperkasakan usaha memantau jual beli bijiran membabitkan kerajaan tempatan dan syarikat bijiran berskala besar.

“Kerajaan dan syarikat tempatan harus membentuk sistem dan peraturan sendiri untuk meningkatkan pemantauan kendiri bagi mengelakkan kelakuan rasuah,” Xu bertambah.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan