Siri Drama Popular Bawa Ledakan Pelancongan di Yunnan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 31 Januari 2023

Kota Purba Dali dibanjiri orang. (Gambar oleh Chen Xiaojun)

Dalam tempoh cuti Tahun Baharu Cina (TBC), Daerah Autonomi Dali di provinsi Yunnan menyaksikan ledakan pelancongan yang telah lama tidak dilihat berkat populariti siri drama Meet Yourself yang dibintangi Crystal Liu dan Li Xian. Tempat itu juga salah satu destinasi pelancongan yang paling popular dan paling hangat diperkatakan tahun ini.

Drama Meet Yourself mengisahkan protagonis bernama Xu Hongdou yang meletakkan jawatan setelah kawan baiknya meninggal dunia dan mencari ketenangan di sebuah kampung di Dali. Di sana, dia mengenali alam semula jadi yang indah dan kawan-kawan yang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza-beza, dan akhirnya jatuh cinta dengan seorang lelaki.

Gunung Cangshan dan Tasik Erhai. (Gambar oleh Hu Zunhui)

Daerah Autonomi Dali yang berpenduduk etnik Bai terletak di barat provinsi Yunnan. Bandar itu terkenal dengan pemandangan indah di Gunung Cangshan dan Tasik Erhai dan digelar sebagai “Switzerland Timur” kerana landskap yang agak mirip. Pemandangan, unsur-unsur makanan serta warisan budaya tidak ketara tempatan telah diterapkan ke dalam drama Meet Yourself.

Pekan Purba Shaxi. (Gambar oleh Dong Mengliang)

Menurut statistik platform pelancongan, satu minggu setelah drama itu ditayangkan pada 3 Januari, jumlah carian mengenai Yunnan meningkat pesat. Antaranya carian “Dali” meningkat dua kali ganda, manakala “Pekan Purba Shaxi” meningkat lebih daripada sepuluh kali ganda. Makanan Yunnan seperti Guoqiao Mixian iaitu sejenis mee yang dibuat dari beras, kuih bunga dan tauhu bersalut juga menjadi carian hangat di media sosial China dan membawa kepada peningkatan pesat jumlah jualannya di platform e-dagang.

Menurut Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan tempatan, dalam tempoh cuti TBC, jumlah pelawat ke Dali mencatat 4,239,300 sementara jumlah perolehan pelancongan mencecah 3.16 bilion yuan, tumbuh 162% tahun ke tahun. Antaranya, kepopularan Kota Purba Dali serta beberapa tapak pelancongan lain malah melebihi masa sebelum wabak COVID-19 melanda dan masuk senarai tempat pelancongan domestik paling hangat. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan