Industri Haiwan Peliharaan Tunjuk Potensi Besar

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 02 Februari 2023
Industri Haiwan Peliharaan Tunjuk Potensi Besar

Dengan berakhirnya cuti Tahun Baharu Cina (TBC), statistik penggunaan platform e-dagang pada musim beli-belah TBC turut diumumkan.

Data yang diterbitkan memperlihatkan satu fenomena yang cukup menarik, iaitu carian mengenai barang keperluan haiwan peliharaan seperti makanan, peralatan mandian dan baju meningkat pesat. Hal ini menunjukkan bahawa pulang ke kampung bersama haiwan peliharaan bagi meraikan TBC sudah menjadi satu trend di China.

Statistik berkenaan menunjukkan bahawa jumlah haiwan peliharaan di kawasan bandar telah melebihi 112 juta, manakala jumlah nilai pasaran untuk produk anjing dan kucing peliharaan mencecah 249 bilion yuan (157.4 bilion ringgit).

Pertumbuhan ekonomi antara faktor yang menyebabkan kebangkitan pasaran haiwan peliharaan. Difahamkan bahawa apabila pendapatan per kapita mencapai AS$3,000 hingga AS$8,000 setahun, industri haiwan peliharaan akan berkembang pesat. Pendapatan per kapita di China sudah lama melebihi AS$10,000. Peningkatan kualiti hidup dari aspek fizikal lazimnya akan membawa kepada pertumbuhan permintaan dalam sektor tersebut.

Hal ini ditambah dengan kadar pasangan berbilang anak yang semakin meningkat, situasi penuaan populasi yang semakin ketara dan purata saiz isi rumah kian mengecil. Semakin ramai orang memilih untuk memelihara haiwan sebagai peneman, sedangkan haiwan peliharaan dapat memberi sokongan emosi kepada kanak-kanak, orang tua, pasangan muda dan golongan bujang.

Sektor haiwan peliharaan dapat dibahagikan kepada banyak subsektor seperti makanan, barangan keperluan, penjagaan kesihatan, diagnosis dan rawatan serta pengangkutan. Skalanya besar dan melibatkan banyak industri derivatif. Potensinya telah diiktiraf oleh banyak pelabur.

Tahun-tahun kebelakangan ini, industri haiwan peliharaan mendapat banyak perhatian. Kini, terdapat lebih daripada 382,000 syarikat pengeluar produk haiwan peliharaan, yang merekodkan pertumbuhan purata tahunan pada kadar 34.9% dalam tempoh antara 2018 hingga 2022. 

Gaya Hidup